suria

Selangor Belasah Kuala Lumpur 4-1 Dalam Liga Super

KUALA LUMPUR: Hasil sentuhan semangat menjulang piala sumbangsih Sabtu lalu, skuad Selangor tampak garang dengan membelasah Kuala Lumpur 4-1 malam ini.

Dalam perlawanan di Stadium Shah Alam, Selangor dikejutkan dengan jaringan awal Kuala Lumpur menerusi Yong Kuong Yong pada minit ke-6.

Namun, Selangor bangkit dengan semangat membara dengan menyamakan kedudukan pada minit ke-34 menerusi penyerang berbahayanya Mohd Safee Sali.

Selepas itu, pasukan 'The Red Giant' bimbingan K. Devan meledakkan tiga lagi gol menerusi ketua pasukannya Mohd Amri Yahya (ke-58) dan dua jaringan R. Surendren (ke-79 dan ke-88).

Sementara itu, Terengganu membelasah Perak 3-1 di Stadium Perak.

Penyerang Mohd Ashaari Samsudin menjadi hero pasukan Terengganu selepas beliau menyumbang dua gol (ke-15 dan ke-76) dan satu gol oleh rakan sepasukannya Mohd Firdaus Mohd Faudzi (ke-49), manakala gol sagu hati Perak dijaringkan Mohd Saufi Saadi (ke-57).

Dalam dua perlawanan lain, Pulau Pinang menang tipis 2-1 ke atas Pahang di Stadium Bandaraya dan dua pasukan kelab T-Team dan KL Plus seri tanpa jaringan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain