suria

Atlet Cemerlang Sukan SEA Laos Terima Ganjaran

PUTRAJAYA: Selepas meraih lima pingat emas pada temasya Sukan SEA ke-25 di Laos bulan lepas, perenang kebangsaan Daniel Bego hari ini menerima sejumlah RM29,000 daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas kejayaannya itu.

Daniel menjadi penerima terbanyak insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) Majlis Sukan Negara (MSN) berikutan kecemerlangannya itu, yang termasuk mencatatkan empat rekod baru. Daniel menerima RM5,000 bagi setiap emas yang dimenangi dan tambahan RM1,000 bagi setiap rekod baru kejohanan yang dicatatkannya.

Beliau dan 61 atlet yang memenangi pingat emas di Vientiane menerima ganjaran mereka daripada Perdana Menteri dalam satu majlis yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

MSN membayar RM221,000 bagi 62 penerima pingat emas dan RM10,000 lagi bagi rekod baru yang dicatat mereka, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM231,000.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek.

"Insentif ini merupakan perangsang kepada saya untuk memperbaiki lebih banyak rekod terutama selepas layak secara merit untuk ke Sukan Komanwel di New Delhi pada Oktober dan Sukan Asia di Guangzhou pada November," kata Daniel kepada pemberita.

Daniel beraksi dalam acara 100m gaya bebas, 200m gaya bebas, 400m gaya bebas, 100m kuak kupu-kupu dan 200m kuak kupu.

Kecuali acara terakhir (200m kuak kupu kupu), Daniel turut mencatat rekod baru kejohanan bagi empat acara tersebut.

Seorang lagi perenang negara, Siow Yi Ting memperoleh RM18,000 bagi tiga emas dan tiga rekod yang dicatatnya, sekaligus menjadi penerima kedua terbanyak Shakam bagi temasya di Vientiane.

Tiga penerjun kebangsaan, Yeoh Ken Nee, Bryan Nickson Lomas dan Pandelele Rinong, masing-masing menerima RM7,500 setiap seorang.

Pasukan akuatik yang menjadi penyumbang terbesar pingat emas kepada kontinjen Malaysia di Laos dengan meraih 15 emas turut menjadi penerima terbanyak insentif Shakam.

MSN membayar sejumlah RM75,000 bagi lapan atlet akuatik yang menyumbangkan emas tersebut dan tambahan RM8,000 lagi bagi yang mencatat rekod baru, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM83,000.

Acara sukan yang menjadi penerima kedua terbanyak ialah olahraga (RM32,000), diikuti karate (RM25,000), bola sepak lelaki (RM20,000), silat (RM20,000), wushu (RM15,000), badminton (RM15,000), memanah (RM5,000) dan taekwondo (RM5,000).

Ketua Pengarah MSN Datuk Zolkples Embong ketika ditanya mengenai pemberian insentif tersebut ketika bajet agensi itu bagi tahun ini semakin berkurangan berkata apa yang penting ialah kejayaan berterusan atlet negara. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain