suria

Khairulnizam Ungguli Kejohanan Pelayaran Remaja Australia

LANGKAWI: Pelayar kebangsaan, Khairulnizam Mohd Afendy mengungguli kategori Laser Radial Kejohanan Remaja Australia di Adelaide, Australia, semalam.

Khairulnizam, 16, mengumpulkan 16 mata selepas menamatkan 10 perlumbaan hari ini selepas baki dua perlumbaan terpaksa dibatalkan oleh penganjur kerana cuaca panas sehingga 40 darjah Celcius.

Pengurus Besar Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA), Mohd Afendy Abdullah berkata, kejayaan pelayar berpotensi itu sudah diduga selepas menjadi pendahulu sejak kejohanan itu bermula selain Khairulnizam pernah meraih kejayaan pada Kejohanan Eropah pada tahun lepas.

Ini adalah kejayaan pertama sebagai pembuka tirai untuk memberi semangat menghadapi saingan seterusnya, katanya menerusi emel kepada Bernama hari ini.

Khairulnizam merupakan pelayar tunggal Malaysia menyertai kejohanan itu dan sebelum itu menggalas cabaran negara pada Kejohanan Pelayaran Kebangsaan Australia di Adelaide, yang berakhir Isnin lepas, dengan menduduki tangga ke12.

Seramai 43 pelayar dari Singapura, New Zealand, Cook Island, Perancis, Malaysia dan Australia menyertai kejohanan itu. - BERNAMA

Artikel Lain