suria

Skuad Jengking tidak Patah Semangat

JOHOR BAHARU: Walaupun tewas pada perlawanan sulungnya kepada Kedah semalam, skuad Jengking Johor tidak patah semangat untuk menunjukkan aksi yang lebih menarik ketika bertandang ke Kota Bharu minggu depan menentang Kelantan.

Pengurus Pasukan Johor, Datuk Abdul Aziz Sapian berkata, semangat pemain-pemain bimbingan bekas pemain kebangsaan, Nasir Yusof tetap tinggi walaupun selepas kecundang 0-3 di tangan Kedah di tempat sendiri semalam.

"Moral dan semangat pemainpemain tetap berada pada tahap yang tinggi untuk menentang Kelantan. Kita akan memperbaiki segala kelemahan ketika perlawanan semalam dan menunjukkan prestasi yang lebih baik (ketika bertemu Kelantan minggu depan)," katanya.

Beliau yang merupakan Naib Presiden 1 Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) berkata, jurulatih telah pun mengenal pasti beberapa kelemahan ketika perlawanan semalam sehingga menyebabkan skuad Jengking tunduk dengan mudah kepada Kedah.

Menurut Abdul Aziz, di antara kelemahan yang paling ketara sehingga menyebabkan kekalahan di dalam perlawanan sulungnya semalam melibatkan tindakan penyudah penyerang pasukan Johor yang kurang berkesan serta kekurangan stamina pemain pada separuh masa kedua.

"Kita telah pun mengarahkan Nasir dan Salehan Mat Som (jurulatih penyerang pasukan) supaya dapat mempertajamkan penyerang-penyerang supaya mereka dapat memperbaiki ketumpulan serangan kita sebagaimana yang berlaku semalam," kata beliau.

Menurutnya, jurulatih juga akan menekankan kepada aspek stamina pemain di dalam latihan selepas ini, berikutan persembahan kurang bermaya pemain Johor terutamanya pada separuh masa kedua ketika menentang Kedah semalam yang berpunca daripada kekurangan daya tahan fizikal dan stamina.

"Kita berkeyakinan selepas beberapa masalah ini berjaya diatasi, pasukan Jengking akan tampil dengan aksi yang lebih mantap di dalam perlawananperlawanan seterusnya, bermula dengan pertembungan dengan Kelantan pada minggu depan," katanya.

Walaupun berkeyakinan akan mampu menunjukkan persembahan yang lebih baik ketika berkunjung ke Kota Bharu minggu depan berbanding aksinya ketika menentang Kedah semalam, Johor menurutnya tetap menghormati Kelantan yang memiliki beberapa pemain kebangsaan dan corak permainan yang agresif.

Katanya, walaupun mereka menjangkakan perlawanan di Kota Bharu itu adalah sukar berikutan prestasi meningkat Kelantan di dalam saingan Liga Super sejak beberapa tahun kebelakangan ini tetapi skuad Jengking yakin mereka masih mampu untuk mencatat keputusan yang baik. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain