suria

Selamat Datang ke Old Trafford Biram Diouf...

MANCHESTER: Selamat datang kita ucapkan kepada Mame Biram Diouf, penyerang Senegal berusia 22 tahun yang tidak dikenali tetapi diperturunkan buat pertama kalinya oleh Manchester Utd dalam perlawanan liga menentang Birmingham awal pagi semalam.

Diouf bermain dalam baki perlawanan yang tinggal lebih kurang sembilan minit sahaja lagi. Dalam tempoh yang sangat singkat itu sudah tentulah tidak ada apa yang dapat dilihat dan dinilai.

Tetapi siapakah pemain muda ini? Dari manakah dia datang? Dan bagaimanakah dia mencuri perhatian Sir Alex Ferguson?

Mari kita lihat.

Pemain ini sebenarnya dibeli oleh Man Utd dari kelab Norway, Molde musim lalu tetapi dipinjamkan semula ke kelab itu - satu usaha kerjasama yang pernah dilakukan ke atas hero supersub Utd, Ole Gunnar Solskjaer suatu ketika dahulu.

Ini bagi membolehkan Diouf memperolehi pengalaman yang secukupnya sehingga musim liga domestik Norway selesai dan juga bagi membolehkan Utd memproses visa kerjanya di United Kingdom sebagai seorang pemain antarabangsa.

Walaupun kehadiran Diouf pada bulan Januari ini tidak menjanjikan apa-apa sama ada kepada Utd mahupun Ferguson tetapi hakikat bahawa dia diberikan jersi dengan no 32 iaitu yang pernah dipakai oleh Carlos Tevez musim lalu telah menarik perhatian ramai.

Ferguson sendiri dipetik sebagai berkata bahawa Diouf telah mampu menyesuaikan dirinya dalam regim latihan yang sangat asing baginya dan ini memberi satu petanda positif kepada skuad Utd.

"Dalam latihan dia telah menunjukkan gerakan yang pantas, menguasai tandukan dengan baik dan menyerang yang baik. Keseluruhannya dia mempunyai ciri-ciri penyerang tengah yang diperlukan oleh Utd," kata Ferguson.

Tetapi kehadiran Diouf sudah pastinya akan menjadikan persaingan untuk posisi penyerang semakin getir.

Selain Rooney dan Berbatov, Utd juga mempunyai Michael Owen, Wellbeck dan Machida di posisi yang sama.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain