suria

Rooney Disebut-sebut Bakal Kapten Man Utd

MANCHESTER: Dengan kapten pasukan Red Devils, Gary Neville kini sudah sampai ke penghujung kariernya, cakap-cakap di Old Trafford menyebut Wayne Rooney akan bakal dilantik sebagai kapten pasukan yang baru musim depan.

Ini akan berlaku sekiranya Neville yang bermain untuk Manchester Utd sejak tahun 1992 dengan lebih 583 perlawanan, tidak ditawarkan sebarang kontrak baru menjelang penghujung musim ini.

Neville yang seangkatan dengan David Beckham, Paul Schole, Nicky Butt, Ryan Giggs dan adiknya Phil Neville bergelut dengan kecergasan maksima selepas berehat panjang akibat kecederaan.

Tetapi kerana disiplin yang tinggi, Neville telah berjaya kembali ke dalam skuad utama namun sekali sekala masih terganggu dengan lain-lain kecederaan kecil.

Ketika pasukannya berkunjung ke Malaysia sebelum musim baru bermula, Gary Neville yang ketika itu baru pulih masih kelihatan berlari di padang sebanyak lebih 15 pusingan sebaik sahaja perlawanan tamat demi untuk mengekalkan kecergasannya.

Begitulah ketinggian komitmen Neville ke atas kariernya. Maka tidak hairanlah dia dilantik sebagai kapten pasukan sebaik sahaja Roy Keane mengundurkan diri dari skuad Utd.

Dalam pada itu, Alex Ferguson sendiri telah memberi indikasi bahawa Rooney akan menjadi salah seorang pemain yang akan disenarai pendekkan untuk mengalas tanggungjawab sebagai kapten pasukan musim depan.

Ferguson berkata, dia percaya, pada usia 24 tahun, Rooney sudah bersedia untuk mengalas tanggungjawab itu seandainya terpilih.

"Jika dia bermain, dia akan berlari sepanjang 90 minit dan menunjukkan kekecewaannya jika permainan pasukan hambar. Itu adalah ciri-ciri seorang kapten pasukan yang semulajadi," tegas Ferguson.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain