suria

Peminat Bolasepak Kelantan Minta KAFA Siasat Kawalan Longgar Di Stadium

KOTA BAHARU: Peminat bola sepak Kelantan meminta Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menyiasat insiden pintu utama Stadium Sultan Mohamed Ke-IV dibolosi penonton yang tidak bertiket pada perlawanan persahabatan di antara Kelantan dengan Narathiwat FA, Sabtu lepas.

Mereka berpendapat kejadian itu mengecewakan kerana menidakkan hak penonton yang telah membeli tiket perlawanan selain menyerlahkan kelemahan kawalan keselamatan apabila dengan mudah dibolosi peminat tidak bertiket itu.

Kejadian berlaku apabila pintu utama stadium itu dibuka sebaik sebelum perlawanan bermula menyebabkan ratusan penonton tanpa tiket menyerbu masuk tanpa sempat dikawal oleh pihak pengurusan KAFA dan pengurusan stadium berkenaan.

"Perbuatan itu bukan saja merugikan KAFA, malah menjejaskan semangat kesukanan yang ditunjukkan semua pihak dalam menjayakan perlawanan persahabatan itu," kata seorang peminat bola sepak, Rahimi Hussein, 26, kepada Bernama, di sini, hari ini.

Perlawanan persahabatan itu berkesudahan kedua-dua pasukan seri tanpa sebarang gol.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KAFA Tuan Hashim Tuan Yaakob, berkata pihaknya akan memulakan ujian percubaan bagi menggunakan sistem tiket elektronik "Touch N Go" di pintu masuk stadium itu Rabu ini ketika perlawanan persahabatan Kelantan menentang Felda United sebelum ia dapat digunakan sepenuhnya menjelang sepak mula saingan Liga Super pada 3 Jan depan. BERNAMA

Artikel Lain