suria

Shabery: Kem Little Champs Untuk Cungkil Jaguh Sukan

KEMAMAN: Mulai tahun depan, Kementerian Belia dan Sukan akan memperkenalkan program Kem Little Champs di setiap kawasan Parlimen dalam usaha untuk mendedahkan kanak-kanak seawal usia tujuh hingga 11 tahun terhadap kemahiran asas sukan.

Program itu yang merupakan kesinambungan kepada Program Tunas Gemilang bertujuan mencungkil bakatbakat baru dalam bidang sukan sekali gus melahirkan atlet-atlet negara untuk masa depan.

Menterinya Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata melalui program itu, beliau percaya usaha KBS dan cawangan Mengenal pasti Bakat, Institut Sukan Negara (ISN) untuk melahirkan atlet bertaraf dunia menjelang 2020 akan dapat dicapai.

"Program ini akan diperkenalkan dari satu kawasan Parlimen ke satu kawsan Parlimen mengikut konteks kemudahan sukan yang dapat disediakan di tempat itu, contohnya kalau di Kemaman sukan badminton, bola sepak, memanah, dan hoki.

"Bakat-bakat yang dikenalpasti melalui program ini kemudian akan kita salurkan ke Majlis Sukan Negara atau Jabatan Pendidikan Daerah untuk membangunkan bakat-bakat baru ini untuk muncul sebagai atlet negara suatu hari nanti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kem Little Champs peringkat Parlimen Kemaman di Kompleks Rakan Muda di sini malam semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah ISN Datuk Dr Ramlan Aziz dan jurulatih perseorangan badminton negara Datuk Misbun Sidek.

Program selama empat hari bermula Khamis lepas disertai 130 orang kanak-kanak berusia sembilan hingga 11 tahun, yang terpilih dari daerah ini.

Ahmad Shabery berkata, untuk melahirkan seseorang yang mempunyai bakat semula jadi seperti bekas pemain bola sepak terkenal negara Allahyarham Mokhtar Dahari mungkin hanya 1 dalam 1,000 orang.

Sehubungan itu, katanya usaha untuk mencungkil, membentuk dan melahirkan jaguh sukan perlu dilakukan dengan kerjasama semua pihak termasuk ibu bapa. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

JADUAL LIGA PERDANA INGGERIS

Artikel Lain