suria

Roslin Sedia Bantu Skuad Piala Thomas

KEMAMAN: Pemain badminton negara, Roslin Hashim menyatakan kesediaannya untuk membantu memantapkan skuad negara untuk menghadapi Piala Thomas 2010.

Katanya walaupun hampir enam bulan berehat, namun beliau yakin dirinya masih mampu untuk menggalas tanggungjawab itu dan masih setanding dengan pemain-pemain muda yang lain.

"Terpulanglah kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam soal pemilihan, kalau nak ikutkan soal nak main (wakil negara), semuanya memang nak main. Walaupun telah enam bulan tidak aktif, tetapi keinginan untuk mewakili itu masih ada.

"Tetapi kalau saya tidak terpilih pun tidak mengapa, saya tidak akan kecil hati kerana saya tahu walaupun dari segi kebolehan mungkin saya mampu menandingi pemain muda, namun dari segi rangking saya agak ketinggalan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Kem Little Champs peringkat Parlimen Kemaman yang diadakan empat hari bermula Khamis lepas di Kompleks Rakan Muda di sini.

Katanya, walaupun tidak terpilih nanti, namun beliau tetap bersedia membantu rakan sepasukan lain dalam usaha untuk memastikan hasrat negara untuk memenangi kembali Piala Thomas dapat dicapai.

Setakat ini hanya Datuk Lee Chong Wei dan Muhammad Hafiz Hashim sudah mengesahkan tiket dan masih ada dua atau tiga lagi slot perseorangan lelaki untuk diisi oleh pemain-pemain badminton perseorangan negara.

Roslin juga turut menafikan masalah peribadi merupakan punca beliau kurang aktif menyertai pertandingan-pertandingan badminton yang diadakan baik di dalam mahupun luar negara. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

JADUAL LIGA PERDANA INGGERIS

Artikel Lain