suria

Mohd Farizal Mahu 'Tawan Hati' Rajagobal

KUALA LUMPUR: Penjaga gol kebangsaan, Mohd Farizal Marlias bertekad untuk kembali 'menawan hati' jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal bagi membolehkan beliau merampas kembali posisinya di dalam kesebelasan utama.

Penjaga gol berusia 23 tahun itu kini menjadi pilihan kedua Rajagobal setelah pesaingnya, Mohd Sharbinee Allawee Ramli mempamerkan persembahan yang konsisten dan cemerlang di Sukan SEA Laos.

Mohd Farizal berada di bangku simpanan dengan hanya diberi kesempatan untuk beraksi dua perlawanan di peringkat kumpulan pada temasya dwitahunan itu yang menyaksikan Malaysia memenangi pingat emas.

"Kalau boleh memang saya mahu kembali sebagai penjaga gol utama ketika menentang Emeriyah Arab Bersatu (UAE) pada kelayakan Piala Asia 2011 yang akan berlangsung pada 6 Januari nanti," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Penjaga gol skuad Liga Super Perlis itu berkata apa pun semangat berpasukan tetap diutamakan oleh dirinya.

Beliau dan Mohd Sharbinee kini menjalani latihan pusat di Wisma FAM sejak Khamis lepas bagi perlawanan menentang UAE itu yang juga merupakan perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

"Seperti kebanyakan pemain-pemain lain, saya juga melakukan latihan tambahan selepas sesi latihan di bawah kendalian jurulatih penjaga gol, Mohd Faozi Mukhlas bagi membaiki kelemahan-kelemahan yang ada," katanya.

Ditanya mengenai kelebihan Mohd Sharbinee, beliau berkata penjaga gol skuad Liga Super Terengganu itu mempunyai tahap keyakinan yang tinggi.

"Namun saya tetap bersaing secara sihat dengan beliau dan ia merupakan sesuatu yang bagus untuk kami berdua," katanya.

Mohd Farizal sebelum ini merupakan pilihan utama Rajagobal untuk mengawal gawang negara ketika perlawanan-perlawanan persahabatan antarabangsa termasuk ketika bertemu Manchester United pada Julai lepas.

Aksi konsistennya itu berjaya mendapat pujian Rajagobal sehingga penjaga gol utama skuad kebangsaan sebelum itu, Syed Adney Syed Hussein yang kini beraksi untuk skuad Liga Super Kelantan hilang posisi sebagai penjaga gol utama.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

JADUAL LIGA PERDANA INGGERIS

Artikel Lain