suria

MSN Tumpu Atlet Prospek Emas Di Sukan Asia, Komanwel

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) akan memberi lebih tumpuan kepada atlet-atlet yang menjadi prospek pingat emas di Sukan Asia dan Komanwel yang akan berlangsung tahun depan.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong berkata, dengan perlaksanaan rancangan itu, pihaknya tidak lagi akan menumpukan kepada jenis-jenis sukan.

"Tumpuan kita akan lebih kecil. Contohnya badminton kita akan tumpu kepada acara perseorangan atau beregu dengan penglibatan beberapa atlet yang berpotensi emas sahaja," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata, perkara itu masih lagi dalam peringkat perancangan dan memerlukan penelitian untuk dilaksanakan.

"Mereka yang terpilih mungkin menyertai lebih banyak kejohanan pendedahan berbanding atlet yang tidak terpilih. Kita perlu berhemah kerana tahun depan peruntukan MSN telah dipotong 14 peratus berbanding tahun ini," katanya.

Zolkples ketika membentangkan kertas kerjanya di Konvensyen Sukan Kebangsaan 2009 semalam meletakkan sasaran untuk melepasi catatan terbaik negara iaitu 10 emas di Sukan Komanwel 1998 dan lapan emas di Sukan Asia 2006.

Sementara itu, mengenai pencapaian keseluruhan sukan sepanjang tahun ini, Zolkples berkata beliau berpuas hati termasuk pencapaian memenangi 40 emas di Sukan SEA Laos baru-baru ini.

"Itu pun setelah kita tidak menyertai acara-acara yang menawarkan 64 pingat emas dan kehilangan 34 pingat emas daripada beberapa acara yang digugurkan di Laos.

"Malah kejayaan 40 atlet pelapis yang layak secara merit ke Sukan SEA serta meraih satu emas, lima perak dan tujuh gangsa terutamanya atlet menembak menunjukkan mereka berpotensi untuk tempoh dua tahun lagi," katanya.

Zolkples berkata, sukan-sukan lain yang memang menjadi keutamaan MSN seperti berbasikal, boling padang dan tenpin boling telah memberikan keputusan yang diharapkan.

"Kita juga harus realistik dan mengkaji secara mendalam terhadap sukan yang subjektif pada Sukan SEA 2011 di Indonesia seperti wushu," katanya.

Mengenai keputusan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang menolak cadangan penubuhan sebuah Universiti Sukan, Zolkples berkata, ia di luar bidang kuasa MSN dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"Mereka (KPT) berpendapat telah banyak universiti-universiti di negara ini yang menawarkan kursus-kursus sukan namun kita merasakan ia tetap perlu kerana jika terdapat fakulti sukan sahaja, atlet-atlet sukan akan bercampur dengan pelajar biasa yang mungkin akan berbeza atmosferanya," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Jangan Terlalu Selesa, Kata Azzudin

Artikel Lain