suria

MU Meniti Hari Sukar

SIR Alex Ferguson menyesali pasukan pimpinannya, Manchester United dibelasah Fulham, 3-0 ekoran satu jaringan mudah dan 'pembunuh' oleh pihak lawan.

"Kami kalah kerana satu bola 'lembut' sehingga mereka berjaya menjaringkan gol pertama. Ini sekali gus memberikan peluang untuk pihak lawan terus mengasak," akui Ferguson yang akur krisis kecederaan pada pemain-pemain kini merumitkan keadaan.

Beliau nyata terkilan cara gol pertama tersebut dijaringkan dengan mudah sekali.

Kesilapan Paul Scholes yang agak tidak tipikal memberi peluang kepada Danny Murphy meledakkan satu rembatan melepasi Tomasz Kuszczak.

Bola itu menerjah jaring apabila Kuszczak tergelincir ketika cuba menyelamatkan keadaan.

"Gol pertama itu penting untuk mereka tetapi buruk untuk kami. Kemudian ia menyukarkan perjuangan kami.

"Gol kedua mereka (hasil jaringan Bobby Zamora) selepas waktu rehat separuh kedua terus meranapkan kebangkitan kami. Kami tidak menjangkakan gol kedua tersebut," ujar Ferguson.

Kerana ketinggalan dua gol, pengurus pasukan itu memasukkan penyerang Dimitar Berbatov dan Fabio bagi menggantikan pemain tengah, Darron Gibson serta Ritchie De Laet.

Ferguson menjelaskan, beliau terpaksa membuat perubahan taktikal permainan dengan menggunakan empat pemain di barisan pertahanan.

Katanya, Fabio di bek kanan, Darren Fletcher serta Michael Carrick di posisi tengah pertahanan.

"Pengadil membuat keputusan yang lemah membenarkan gol ketiga (hasil tendangan bebas). Pada masa itu, keadaan amat sukar untuk kami.

"Kami tidak berjaya melancarkan serangan terhadap Fulham. Pemain-pemain mereka bertahan dengan baik dan tersusun.... hari ini adalah hari yang sukar untuk kami," katanya.

Artikel Lain