suria

Manchester City pecat Mark Hughes, lantik Roberto Mancini

MARK Hughes dipecat sebagai Pengurus Manchester City walaupun pasukannya melakarkan kemenangan 4-3 ke atas Sunderland awal pagi tadi.

Menurut pengumuman yang dibuat kelab itu, bekas jurulatih Inter Milan, Roberto Mancini menggantikan tempatnya.

Pemecatan Hughes itu dibuat ekoran kegagalannya mencapai sasaran sekurang-kurangnya satu tempat dalam kalangan empat pasukan teratas.

Pemilik kelab, Sheikh Mansour dari Abu Dhabi itu tidak berpuas hati dengan pencapaian Hughes walaupun membelanjakan sebanyak 200 juta paun (atau RM1,111 juta) untuk pemain dan kelab.

Perbelanjaan itu antara lain bagi mendapatkan pemain-pemain berkualiti seperti Carlos Tevez, Kolo Toure, Joleon Lescott dan Roque Santa Cruz.

Ia juga digunakan untuk membina kemudahan latihan serta infrastruktur lain bagi kelab itu.

Pengerusi kelab itu, Khaldoon Al Mubarak berkata, keputusan melepaskan Hughes dibuat selepas pasukan itu mencatatkan hanya dua kemenangan daripada 11 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL).

"Ini jelas tidak menepati sasaran yang sudah dipersetujui dan ditetapkan," katanya.

Setakat ini, Manchester City hanya kalah dua kali dalam EPL selain bakal berentap dengan pasukan MU pada peringkat separuh akhir Carling Cup.

Bagaimanapun, beberapa keputusan seri menyaksikan pasukan itu tidak berpotensi untuk bertanding pada Liga Juara-Juara.

Artikel Lain