suria

Malaysia Bersiap Sedia Anjur IODA 2010

LANGKAWI: Selepas kejayaan menganjur Kejohanan Optimist Asia, Persatuan Optimist Dinghy Antarabangsa (IODA) 2009 di sini yang berakhir semalam, Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA) kini memberi tumpuan kepada satu lagi pertandingan lebih besar peringkat dunia pada tahun depan.

Timbalan Presiden MYA, Lukman Abu Bakar berkata, MYA sedang giat mengatur persiapan menjayakan Kejohanan Optimist Dunia Persatuan Optimist Dinghy Antarabangsa (IODA) 2010 yang akan berlangsung mulai 27 Disember 2010 hingga 7 Januari 2011.

Langkawi, sekali lagi dipilih sebagai venue kejohanan yang akan berlangsung di Kompleks Perahu Layar Kebangsaan di sini, katanya.

Lukman berkata, penganjuran itu merupakan satu pengiktirafan tinggi IODA dan Persekutuan Pelayaran Antarabangsa (ISAF) kepada MYA.

Katanya, kejohanan itu akan disertai 300 pelayar dari 60 negara yang akan menghimpunkan pelayar seluruh dunia yang akan menjadi antara penganjuran kejohanan yang terbaik. Beliau berkata, melihat kepada kejayaan penganjuran Kejohanan Optimist Asia IODA 2009 serta mendapat pujian dari pengurus dan pegawai-pegawai dari negara yang mengambil bahagian telah memberi keyakinan kepada MYA menganjurkannya.

"Kejayaan itu adalah kerjasama semua pihak termasuk pegawai-pegawai teknikal, sekretariat dan sukarelawan daripada jabatan kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan.

"MYA membelanjakan RM1 juta sumbangan pelbagai pihak termasuk Kementerian Belia dan Sukan, Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) dan KFC Holding (Malaysia) Bhd, untuk penganjuran Asia IODA 2009," katanya.

Seramai 121 pelayar dari 25 negara dijangka menyertai kejohanan kali ini termasuk dari New Zealand, Australia, Perancis, Korea, Thailand, Indonesia, Hong Kong, Hungary, India, Belgium, Qatar, Sepanyol, Croatia, Jepun, Itali, Jepun dan Singapura yang mempertandingkan dua kategori utama iaitu Optimist Individu dan berpasukan.

Lukman berkata, MYA memerlukan lebih RM1 juta untuk penganjuran Kejohanan IODA dunia dan berharap Kementerian Pelancongan dapat membantu memberi sumbangan bagi menjayakan kejohanan berprestij itu.

Beliau yakin kejohanan itu dapat menggalakkan sukan pelancongan dengan kehadiran ramai pelayar bersama pelancong asing ke pulau peranginan ini. - BERNAMA

Artikel Lain