suria

Pencak Silat Sumbang Empat Pingat Emas Di Sukan SEA

VIENTIANE: Acara pencak silat yang tidak begitu popular, mula menjadi tumpuan pasukan Malaysia setelah berjaya meraih empat pingat emas di Sukan SEA ke-25 di sini hari ini.

Selain itu, atlet pencak silat negara Mohd Fauzi Khalib turut muncul wira setelah menyumbangkan pingat emas ke-30 buat Malaysia.

Anak kelahiran Pulau Pinang yang berusia 22 tahun itu menumpaskan lawannya dari Vietnam, Truong Van Mao dalam acara akhir Kelas F lelaki kategori bawah 75kg yang berlangsung di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Lao di sini.

Pingat gangsa masing-masing dimenangi oleh Marniel Dimla dari Filipina dan peserta Singapura Elyasak Said.

Faizal Abdullah menyumbangkan pingat emas kedua negara setelah mengalahkan peserta Thailand, Chanon Untakool 5-0 dalam acara akhir Kelas H lelaki kategori bawah 85kg.

Faizal, 29, seorang anggota polis tentera yang berkhidmat di kem tentera di Jalan Genting-Klang, berkata kemenangan itu merupakan pencapaian terbaiknya setakat ini selepas memenangi gangsa pada Sukan SEA 2007 di Korat, Thailand.

Nguyen Thanh Quyen dari Vietnam dan Shafiq Saiful dari Singapura mendapat pingat gangsa.

Pingat emas ketiga negara diraih menerusi Mohd Hafiz Mahari, 22, yang menang dalam acara Kelas A lelaki bawah 50kg selepas menyingkirkan pesaingnya dari negara tuan rumah, Okhe Botsavang dalam acara akhir.

Pingat gangsa dimenangi Niphon Jantaro dari Thailand dan Amirul Ahat dari Brunei Darussalam.

Sementara itu, Emy Latip pula memenangi pingat emas keempat untuk Malaysia dalam Kelas C wanita bawah 60kg selepas mengetepikan peserta Thailand, Jutarat Noytapa.

Anissa Pangestina dari Indonesia dan Saiedah Said dari Singapura masing-masing memenangi gangsa.

Selepas berakhirnya acara pencak silat hari ini, Vietnam muncul juara setElah mengumpul enam pingat emas, empat perak dan satu gangsa manakala Malaysia di tempat kedua dengan empat emas, enam gangsa dan ketiga Thailand yang memperoleh dua emas, empat perak dan empat gangsa. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain