suria

Hanya Dua Wakil Beregu Badminton Negara Ke Acara Akhir Hari Ini

VIENTIANE: Hanya dua beregu badminton negara yang berjaya mara ke pusingan akhir acara beregu wanita dan lelaki yang akan berlangsung di Gimnasium 1, Kompleks Sukan Nasional di sini hari ini.

Pada peringkat separuh akhir semalam, beregu wanita negara Chin Eei Hui-Wong Pei Tty menewaskan pasangan dari Indonesia Mei Lia Na Jauhari-Shendy Puspa Irawat 21-12, 21-15 dalam perlawanan yang hanya mengambil masa 35 minit.

Beregu negara itu yang diletakkan sebagai pilihan pertama dijadualkan akan bertemu pasangan dari Singapura Shinta Mulia Sari-Yao Lei dalam pusingan akhir.

Beregu lelaki utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong juga tidak mempunyai masalah untuk menewaskan Bona Septano-Mohammad Ahsan dari Indonesia 21-16, 21-10 dalam perlawanan yang mengambil masa 30 minit.

Laluan pasangan yang diletakkan sebagai pilihan kedua itu di pusingan akhir hari ini bagaimanapun dijangka sukar apabila akan bertemu pasangan berpengalaman dari Indonesia Hendra Setiawan-Markis Kido yang menjadi beregu pilihan pertama temasya kali ini.

Sementara itu, lima lagi wakil negara yang layak ke pusingan separuh akhir semalam kecundang bermula dengan beregu campuran Kien Keat-Pei Tty tewas kepada Nova Widioanto-Liliyana Natsir dari Indonesia 15-21, 15-21 sementara satu lagi beregu campuran negara Chan Peng Soon-Goh Liu Ying ditumpaskan Songphon Anugritayawon-Kunchala Voravichitchakul dari Thailand 18-21, 13-21.

Kejutan yang diharapkan dalam acara perseorangan wanita juga hancur apabila Wong Mew Choo yang diletakkan sebagai pemain pilihan ketiga tewas kepada pemain pilihan pertama Salakjit Ponsana dari Thailand dengan 18-21, 14-21 mata.

Seorang lagi pemain perseorangan wanita negara Lydia Cheah juga tewas kepada pemain dari Thailand Ratchanok Intanon 15-21, 21-23 dalam perlawanan yang mengambil masa 38 minit.

Beregu lelaki negara Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari-Mohd Zakry Ab Latiff walaupun memberi saingan sengit ke atas Hendra-Markis sehingga menarik pasangan dari Indonesia itu bermain hingga ke set penentuan terpaksa akur dengan kekalahan.

Mohd Fairuzizuan-Mohd Zakri tewas 25-27, 21-15, 16-21. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain