suria

KBS Sedia Timbang Naikkan Ganjaran SHAKAM

VIENTIANE: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedia mempertimbangkan permintaan persatuan sukan untuk menaikkan jumlah ganjaran Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bagi temasya Sukan SEA, yang kini RM5,000 bagi pingat emas.

Menterinya, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, sebarang kenaikan ganjaran Shakam bergantung kepada perbandingan insentif yang diberikan oleh negara lain.

"KBS sedia mempertimbangkan kenaikan SHAKAM bagi Sukan SEA tetapi selepas membuat perbandingan dengan negara lain yang turut memberikan ganjaran kepada atlet yang menang emas pada temasya ini," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mengikut ganjaran di bawah SHAKAM, hanya pemenang pingat emas temasya dwitahunan itu akan menerima ganjaran iaitu RM5,000 sementara atlet yang memecahkan rekod temasya akan menerima insentif tambahan RM1,000.

Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) yang juga Presiden Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) Datuk Seri Shahidan Kassim pada Isnin mendakwa ganjaran Shakam pada temasya itu adalah kecil berbanding negara lain. Shahidan memberi contoh Indonesia memberi ganjaran US$20,000 (RM68,000), Singapura US$10,000 (RM34,000) dan Laos US$2,000 (RM6,800) kepada atlet yang memenangi pingat emas pada temasya ini.

Atlet Malaysia pula hanya menerima RM5,000 (US$1,470) iaitu antara ganjaran terkecil bagi negara anggota Asean, katanya.

Ahmad Shabery berkata, selain membuat perbandingan dengan negara Asean lain, KBS juga akan meneliti terlebih dahulu program pembangunan persatuan terbabit serta keistimewaan yang didapati sebelum menaikkan ganjaran itu.

"KBS sedar ganjaran Shakam bagi pemenang emas Sukan SEA dan Sukan Olimpik adalah sangat jauh. Pemenang emas Sukan SEA mendapat RM5,000 sementara emas Olimpik bernilai RM1 juta," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain