suria

Skuad 1989 Harap Penantian Emas 20 Tahun Akan Tamat

PETALING JAYA: Para pemain skuad bola sepak 1989 berharap skuad bawah 23 tahun negara dapat menamatkan penantian 20 tahun untuk meraihkan pingat emas Sukan SEA pada Khamis ini di Laos.

Skuad 1989 yang dibimbing oleh jurulatih dari England, Trevor Hartley, merupakan pasukan terakhir yang memenangi pingat emas untuk negara pada temasya dwi tahunan itu dengan menewaskan Singapura 3-1 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Merdeka.

Bekas ketua pasukan skuad 1989, Ahmad Yusof berkata ini adalah masa terbaik untuk skuad bimbingan jurulatih K.Rajagobal itu menamatkan kemarau yang mencecah usia dua dekad itu.

"Pemain-pemain muda negara perlu bermain dengan komitmen 100 peratus dan memanfaatkan semua peluang yang ada sebaik mungkin kerana bukan senang untuk menjaringkan gol.

"Mereka juga perlu berjuang sehingga ke minit-minit terakhir perlawanan dan tidak mudah berputus asa," katanya ketika ditemui pemberita di Wisma FAM petang ini.

Beliau yang akan membimbing Kedah pada saingan Liga Malaysia 2010 berkata tiada kelebihan terutamanya dari segi penonton antara kedua-dua pasukan kerana bermain di Laos.

"Saya turut menjangkakan keputusan perlawanan itu akan berakhir dengan jaringan tipis seperti 1-0, tidak seperti ketika kita tewas 1-3 kepada pasukan sama di peringkat kumpulan," katanya. Mengimbau kembali kemenangan pada 1989, Ahmad yang merupakan pemain tengah ketika itu berkata semangat mereka memang membuak-buak untuk menang kerana mendapat sokongan daripada ribuan penyokong-penyokong tempatan.

"Malah bekas Perdana Menteri ketika itu Tun Dr. Mahathir Mohamad turut hadir memberikan sokongan setelah kita gagal dua tahun sebelum itu di Indonesia apabila tewas pada perlawanan akhir," katanya.

Harapan yang sama turut diimpikan oleh rakan sepasukan Ahmad, iaitu Razif Ismail yang bermain di bahagian pertahanan dalam skuad 1989.

"Saya harap mereka dapat mengekalkan rentak permainan ketika menentang Laos pada peringkat separuh akhir kerana di dalam perlawanan akhir apa-apa pun boleh berlaku," kata Razif yang kini menjadi jurulatih pasukan Kuala Lumpur. Razif berkata ia adalah masa terbaik untuk pemain-pemain itu memenangi emas kerana mereka telah cukup persediaan daripada segala aspek.

"Selain beberapa pemain-pemain ini telah bermain di temasya sama, dua tahun lepas, mereka telah mendapat pendedahan perlawanan di peringkat tertinggi seperti pusingan kelayakan Piala Asia 2011," katanya. Kali terakhir Malaysia layak ke perlawanan akhir adalah pada Sukan SEA 2001 di Kuala Lumpur namun tewas kepada Thailand dengan keputusan 0-1 untuk sekadar berpuas hati dengan pingat perak. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain