suria

Siaran Langsung Perlawanan M'sia - Vietnam Di TV2

KUALA LUMPUR: Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiarkan siaran langsung perlawanan akhir bola sepak Sukan Sea ke-25 antara Malaysia dan Vietnam pada Khamis ini.

Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Ibrahim Yahya berkata siaran itu, yang ditaja oleh Telekom Malaysia, akan dapat ditonton menerusi TV2 dan dijangka bermula pada 6 petang.

"Bagaimanapun waktu siarannya tertakluk kepada pukul berapa perlawanan dimulakan," katanya pada sidang akhbar di Angkasapuri hari ini untuk mengumumkan program 'Rentak Juara Rhythm Of Champions 2010'.

Malaysia melayakkan diri setelah mengalahkan tuan rumah Laos 3-1 dalam perlawanan separuh akhir malam tadi manakala Vietnam menundukkan Singapura 4-1.

Perlawanan akhir itu nanti memberi peluang kepada Malaysia menebus kekalahan 3-1 kepada Vietnam di peringkat kumpulan.

Mengenai program Rentak Juara yang akan diadakan, Ibrahim berkata ia boleh disertai oleh kumpulan amatur atau profesional dalam negara.

Pertandingan itu bakal disiarkan secara langsung setiap Sabtu pukul 8.30 malam menerusi TV2.

Rentak Juara merupakan program hiburan berbentuk pertandingan berkumpulan lanjutan daripada pertandingan Juara Kugiran yang pernah diterbitkan oleh RTM pada tahun 1970an. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain