suria

Pasukan Menembak Muda Negara Menang Perak Tanpa Dijangka

VIENTIANE: Trio penembak muda negara hari ini memberi kejutan dengan menyumbang pingat perak menerusi penampilan sulung mereka dalam acara 50m rifle 3 posisi berpasukan lelaki di Sukan SEA ke-25 di sini.

Gandingan Mohd Hadafi Jaafar, Mohd Nurrahimin Abdul Halim dan Muhamad Zubair Mohamad yang pertama kali menyertai temasya itu mengumpul 3,400 mata untuk berada di tempat kedua di belakang trio emas dari Vietnam, Thanh Pham Ngoc, Hung Va Thanh dan Hoang Nguyen Duy yang mencatat 3,428 mata.

Pingat gangsa dimenangi pasukan Thailand yang diwakili Majcharcheep Tavarit, Majchacheeap Varavut dan Kongnamchok Komkrit dengan 3,380 mata.

Pengurus pasukan Datuk Musa Omar berkata acara 50m rifle 3 posisi berpasukan lelaki tidak disenaraikan sebagai sasaran pingat dengan hanya mahu memberi pendedahan kepada penembak baru negara.

"Mereka ini masih muda dan kebanyakannya lahir daripada Sukan Malaysia (Sukma).

"Kejayaan mereka hari ini diharap dapat membakar semangat penembak negara lain untuk memenangi pingat emas pula buat negara," katanya kepada Bernama di sini.

Skuad menembak mensasarkan empat pingat emas pada temasya kali ini namun sehingga hari ini skuad menembak baru menyumbang dua pingat perak dan empat gangsa.

Mohd Nurrahimin dan Mohd Hadafi, bagaimanapun, masing-masing hanya menduduki tempat keempat dan ketujuh dengan mengumpul 1,231.3 mata dan 1,230.1 mata dalam pertandingan individu.

Pingat emas dan perak kategori individu dimenangi penembak dari Vietnam, Thanh yang mengumpul 1,252.5 mata dan Hung yang mendapat 1,242.9 mata manakala pingat gangsa dimenangi oleh Majcharcheep dari Thailand dengan 1,240.1 mata. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain