suria

Mohd. Zaquan Pulih, Kembali Ke Laos

PETALING JAYA: Penyerang utama skuad bola sepak kebangsaan bawah 23 tahun, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak, bergegas ke Laos hari ini sebagai persiapan pasukan untuk perlawanan penentuan pingat emas sukan SEA.

Pemain itu yang dihantar pulang sebelum ini akibat sakit mata disahkan pulih sepenuhnya oleh pegawai perubatan di sini, kata Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Azzuddin Ahmad.

"Beliau telah pun kembali ke Laos pagi tadi atas permintaan K. Rajagobal (jurulatih pasukan negara) untuk bersama-sama berjuang dengan rakan-rakan sepasukan yang lain," katanya.

Malaysia akan turun padang menentang Vietnam dalam perlawanan akhir pada petang Khamis.

Pada perlawanan peringkat kumpulan sebelum ini, Malaysia tumpas 13 kepada Vietnam.

Kehadiran Mohd Zaquan itu memberikan lebih banyak pilihan kepada Rajagobal yang mempunyai Norshahrul Idlan Talaha, Mohd Fakri Saarani dan Abdul Manaf Mamat di barisan serangan.

Azzuddin turut berharap atlet-atlet dan pegawai pasukan Malaysia yang tidak mempunyai tugasan agar turun ke stadium bagi memberikan sokongan kepada skuad bawah 23 tahun kebangsaan itu.

Anak-anak buah Rajagobal kini di dalam misi untuk menamatkan penantian 20 tahun selepas kali terakhir memenangi pingat emas pada 1989, dan kini berjaya memenuhi hasrat Presiden FAM Sultan Ahmad Shah untuk memenangi pingat tanpa mengira warna. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain