suria

Lotus Mahu Muncul Pasukan Terbaik Di Antara Empat Pasukan Baru F1

KUALA LUMPUR: Pasukan F1 Malaysia, Lotus F1 Racing (1MF1T), mahu menjadi pasukan terbaik di kalangan empat pasukan baru yang menyertai perlumbaan F1 musim 2010.

Ketua pasukan 1MF1T Datuk Seri Tony Fernandes berkata adalah tergesa-gesa sekiranya pasukan itu meletakkan sasaran kepada dua pemandu utamanya Jarno Trulli dan Heikki Kovalainen.

"Saya agak optimistik mengenai peluang dengan pemandu mantap yang kita ada serta ramuan yang betul walaupun kereta perlumbaan kami mengambil masa untuk mencapai tahap optimum," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Selain pasukan Lotus F1 menggunakan nombor 18 dan 19 yang ditetapkan oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) pada kereta lumbanya, tiga pasukan baru untuk musim 2010 ialah Campos Meta, US F1 Racing dan Virgin Racing.

Mengenai pemilihan pemandu tempatan Fairuz Fauzy sebagai pemandu ketiga pasukan, Fernandes berkata ia adalah perancangan jangka panjang pasukan itu.

Sementara itu, Trulli, 35, pemandu paling lama dalam siri F1, berharap pengalaman luas dalam perlumbaan F1 akan menjadi aset ketika memulakan cabaran baru bersama pasukan itu.

"Sebagai pasukan baru, kita perlu meletakkan sasaran realistik dengan membuktikan diri kami serta disegani terlebih dahulu oleh pasukan lain.

"Kita perlu membuktikan diri sebagai terbaik di kalangan pasukan baru dan menilai jurang dengan pasukan lain," kata pemandu Itali itu.

Trulli turut memuji rakan sepasukan Kovalainen, yang memandu selama empat tahun dalam siri F1, dengan menyifatkannya sebagai pemandu matang dan pengalamannya bersama pasukan lain akan membantu mereka.

Dalam pada itu, pemandu kedua, Kovalainen, pemandu kelahiran Finland, berkata beliau bersedia melakukan apa jua untuk membawa kejayaan kepada 1MF1T pada perlumbaan F1.

"Saya membuat persediaan untuk meletakkan kereta 1MF1T di petak utama tetapi sudah tentu kita perlu realistik dan menumpukan kepada pembangunan pasukan sehingga dapat beroperasi seperti mana pasukan F1 utama masa kini," kata pemandu berusia 28 tahun itu.

Trulli, yang merupakan bekas pemandu Toyota tahun ini telah beraksi sebanyak 216 kali sejak 1997 untuk beberapa pasukan seperti Minardi, Jordan dan Renault.

Beliau memenangi perlumbaan pertama pada 2004 di Grand Prix Monaco dan telah menaiki podium sebanyak 11 kali sepanjang kariernya.

Kovalainen pula mempunyai pengalaman menyertai pasukan terbaik F1 seperti Renault dan McLaren, selain turut berpasangan dengan juara dunia 2008, Lewis Hamilton.

Perlumbaan F1 musim 2010, dengan 13 pasukan, mempunyai 19 pusingan bermula di Bahrain pada Mac depan.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain