suria

Laluan Mudah Selangor Pertahan Piala FA 2010

PETALING JAYA: Juara Piala FA musim ini, Selangor dilihat tidak mempunyai sebarang masalah untuk sekurang-kurangnya mara ke peringkat separuh akhir saingan piala itu bagi musim depan.

Pada undian Piala FA 2010 yang berlangsung di Wisma FAM petang ini, Selangor yang mendapat 'bye' pada pusingan pertama akan menanti pemenang antara dua pasukan kelab iaitu SDM Kepala Batas dan PKNS Selangor di pusingan kedua.

Sekiranya menang, skuad bimbingan jurulatih K.Devan itu akan menanti pemenang antara Pahang melawan Felda United dan Pos Malaysia melawan Majlis Perbandaran Muar di peringkat suku akhir.

Cabaran sebenar mereka berkemungkinan pada peringkat separuh akhir dengan juara Piala Malaysia musim ini iaitu Negeri Sembilan, Johor, KL Plus atau Harimau Muda menanti.

Jika berjaya mengatasi lawan, Selangor berkemungkinan akan mengulangi pertemuan perlawanan akhir dengan Kelantan seperti musim 2009 sekiranya skuad bimbingan B.Sathianathan itu turut memenangi semua perlawanan.

Mengulas mengenai undian itu, Devan berkata, walaupun ia boleh dianggap mudah, mereka perlu bersiap sedia terutamanya dari segi mental.

"Malah saya menjangkakan akan berlaku keputusan 'upset' di mana beberapa pasukan baru akan melangkah lebih jauh sekiranya lawanlawan mereka mengambil mudah," katanya.

Devan juga berkata, mempertahankan kejuaraan Piala FA juga merupakan antara keutamaannya selain menjuarai Liga Super bagi musim depan.

Sebanyak 30 pasukan akan bersaing di dalam Piala FA 2010 yang berlangsung secara timbal balik dengan pusingan pertama akan bermula pada 2 Feb dan perlawanan akhir dijadualkan pada 10 April.

Sementara itu ketika ditanya mengenai pertemuan dengan Negeri Sembilan bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah 2010 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, pada 9 Jan beliau berkata ia akan menjadi satu perlawanan yang menarik.

"Kita sebolehnya mahu memenangi perlawanan itu sekaligus meraih tiga mata untuk saingan Liga Super, namun jika berjaya mencuri satu mata ia sudah mencukupi," katanya.

Selain perlawanan bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah, pertemuan Selangor yang merupakan juara Piala FA dan Liga Super dengan Negeri Sembilan selaku juara Piala Malaysia itu juga merupakan perlawanan pembukaan Liga Super 2010. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain