suria

Berbasikal Akhiri Saingan Bawa Pulang Satu Perak, Dua Gangsa

VIENTIANE: Skuad berbasikal negara sekadar membawa pulang satu pingat perak dan dua gangsa menerusi tujuh acara yang berakhir semalam selepas tuan rumah Sukan SEA Laos tidak menyenaraikan acara trek yang menjadi prospek sasaran emas negara.

Skuad berbasikal mensasarkan dua pingat emas bagi acara lebuh raya lelaki dan wanita yang berlangsung semalam namun pemenang pingat emas lebuh raya wanita pada Sukan SEA 2005 di Manila, Noor Azian Alias hanya membawa pulang pingat perak, manakala Mohd Zamri Salleh meraih gangsa.

Pada Sukan SEA yang lepas di Korat, Malaysia memenangi empat pingat emas, empat perak dan empat gangsa bagi acara trek manakala satu perak dimenangi Suhardi Hassan menerusi acara lebuh raya lelaki.

Pengurus pasukan, Datuk Ahmad Sidi Ismail berkata beliau berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan pelumba terutama sekali kemenangan Masziyaton Mohd Radzi menerusi acara merentas desa basikal bukit wanita.

"Selama ini negara tidak pernah memenangi pingat dalam acara basikal bukit dan saya sendiri lihat pelumba kita telah berusaha melakukan yang terbaik untuk memenangi dua lagi pingat bagi acara lebuh raya namun nasib tidak menyebelahi pelumba negara," katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas prestasi keseluruhan pelumba negara di sini semalam.

Katanya dalam acara lebuh raya, pelumba negara terpaksa berdepan dengan pelumba dari Indonesia, Vietnam dan Thailand yang menurunkan pelumba berpengalaman.

Jurulatih berbasikal wanita, Ahmad Nazali Mohamad berkata keputusan dua pingat yang diperolehi pelumba wanita semasa Sukan SEA kali ini diharap dapat menjadi dorongan bagi menambah pelumba wanita untuk diserapkan dalam kategori atlet elit.

"Selama ini kita memang kekurangan pelumba wanita dan buat masa ini, hanya Noor Azian dan Mariana Mohammad saja yang menjalani latihan sepenuh masa manakala pelumba lain kebanyakannya merupakan pelajar universiti dan hanya menjalani latihan selama sebulan bagi Sukan SEA.

"Walau bagaimanapun hanya Noor Azian yang ditanggung Majlis Sukan Negara (MSN) dan Mariana yang dahulu merupakan atlet triatlon kini menjalani latihan dengan perbelanjaan sendiri," katanya.

Beliau berkata pelumba wanita negara juga kurang pendedahan dalam menyertai perlumbaan di luar negara.

Terdahulu, Noor Azian menduduki tempat kedua dalam acara 116.1km lepas beramai-ramai di belakang pelumba Thailand Jutatip Maneephan manakala pelumba dari Vietnam Phan Thi Thuy Trang memperolehi tempat ketiga.

Dalam kategori lelaki 160.3km lepas beramai-ramai pula, Mohd Zamri menduduki tempat ketiga di belakang dua pelumba Vietnam iaitu Bui Minh Thuy dan Mai Nguyen Hung yang masing-masing membawa pulang pingat emas dan perak. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain