suria

Profil Pemandu Pasukan Formula Satu 1Malaysia-Lotus (1MF1T-Lotus)

Heikki Kovalainen, Jarno Trulli dan Fairuz Fauzy. -Foto THE STAR oleh BRIAN MOH
Heikki Kovalainen, Jarno Trulli dan Fairuz Fauzy. -Foto THE STAR oleh BRIAN MOH
Heikki Kovalainen, Jarno Trulli dan Fairuz Fauzy. -Foto THE STAR oleh BRIAN MOH

Jarno Trulli

Trulli memulakan kerjaya Formula apabila menyertai pasukan Minardi pada tahun 1997. Selepas hanya tujuh perlumbaan, beliau diminta menggantikan Olivier Panis yang cedera dalam pasukan Prost sekali gus meninggalkan impak yang hebat.

Pelumba berbakat berusia 35 itu menduduki tempat keempat pada Grand Prix (GP) Jerman dan mengepalai barisan pelumba di Austrian GP. Bagaimanapun, kegagalan enjin menyebabkan beliau gagal meraih piala kemenangan di podium.

Bermula dari situ, dia mula mencipta nama dan kekal bersama pasukan Prost untuk dua musim. Trulli bagaimanapun gagal mendapat keputusan memberangsangkan. Dia julung kali meraih tempat kedua di podium semasa European GP yang basah pada tahun 1999.

Kemudian, dia menyertai pasukan Millenium dan menyertai skuad Jordan GP. Sekali lagi, dia mencapai kejayaan memberangsangkan dan sekadar mencatatkan kejayaan meraih tempat keempat.

Keupayaannya itu menarik perhatian pasukan Renault pada tahun 2002. Tahun pertamanya bersama Jenson Button dalam pasukan dari Perancis bagaimanapun gagal mencapai kejayaan yang baik.

Bakatnya lebih menyerlah pada tahun seterusnya apabila Trulli berpeluang memandu jentera yang lebih berkuasa. Ketika itu, Mike Gascoyne mengetuai jabatan teknikal pasukan Renault.

Bersama Fernando Alonso, dia kembali mencapai kejayaan dengan mendapat tempat ketiga di German GP di Hockenheim. Keputusan itu memberikan keyakinan kepada Trulli sekali gus mencapai kejayaan cemerlang bagi musim 2004.

Dia kerap memungut mata dan menang besar di Monte Carlo sebelum berpindah ke Toyota sehingga musim 2009. Dalam tempoh lebih lima tahun bersama Toyota, dia memberikan pemanduan hebat dalam pusingan kelayakan dan perlumbaan.

Misalnya, pada tahun pertamanya (2005), Jarno menjadi juara pada perlumbaan-perlumbaan di Malaysia dan Bahrain ketika Gascoyne mengentuai pasukan teknikal.

Daya saing Toyota semakin berkurangan apabila Gascoyne meninggalkan pasukan itu pada tahun 2006 dan Trulli cuma dapat memungut beberapa mata kemenangan sehingga nasib menyebelahinya pada 2008.

Beliau mendapat kejayaan pertamanya dalam tempoh tiga tahun di French GP. Toyota merupakan antara pasukan pilihan pada awal bagi musim tahun ini.

Trulli merampas petak utama di Bahrain tetapi strategi perlumbaan yang tidak menjadi menyebabkannya gagal menjuarai perlumbaan itu.

Bagaimanapun, dia tetap berjaya dengan mencapai dua podium daripada empat perlumbaan pertama selain tempat kedua di Jepun.

Musim 2010 bakal menyaksikan musim ke-14 Trulli dalam F1 dan dia tidak menunjukkan tanda-tanda mahu mengundurkan diri atau 'hilang bisa'.

Dengan menyertai pasukan Lotus, pelumba berpengalaman itu berpeluang untuk berganding sekali lagi dengan Gascoyne.

Pengalamannya yang luas dalam perlumbaan tersohor serta reputasinya sebagai pelumba berpasukan pastinya mendatangkan kejayaan besar kepada pasukan Lotus.

Sejak 1997 sehingga hari ini, Jarno telah melengkapkan 216 perlumbaan.

Heikki Kovalainen

Kovalainen memulakan kerjaya perlumbaan menerusi go-kart pada awal 1990-an. Dia memperoleh tempat kedua pada Kejohanan Finnish Formula A pada tahun 1999 dan 2000.

Bagi tempoh yang sama, Heikki juga mengungguli Kejohanan Scandinavian dan The Elf Masters yang berlangsung di Paris Bercy.

Kejayaannya itu membolehkan Heikki mendapat gelaran 'Karting Driver of The Year' di negara asalnya Finland. Ini mendorong beliau untuk bertanding dalam kejohanan British F3.

Kovalainen mencatatkan lima kemenangan, tiga tempat utama grid (pole), dan tiga pusingan paling pantas.

Secara keseluruhannya, beliau menduduki tempat keempat dalam kejohanan itu selain memenangi anugerah 'Rookie of the Year' oleh Finnish Automobile Sports Federation pada tahun 2001.

Pada tahun 2002, Kovalainen bertanding dalam kejohanan British F3. Beliau merekodkan lima kemenangan dan tiga tempat utama grid.

Dari segi carta pemandu, dia menduduki tempat ketiga. Sekali lagi, Kovalainen mendapat anugerah 'Rookie of the Year'. Dia juga menjuarai perlumbaan sokongan F di British Grand Prix, tempat kedua di Macau dan tempat keempat di Marlboro Masters di Zandvoort.

Pada tahun 2003, pemuda kelahiran Finland itu bertanding dalam perlumbaan Siri Dunia (World Series) oleh Nissan. Satu kemenangan dan dua tempat utama grid (pole) membolehkannya memperolehi tempat ketiga dalam kejohanan itu.

Kovalainen turut tampil menjalani ujian F1 pada tahun yang sama dengan memandu Renault R23 di Barcelona dan Minardi Cosworth di Vallelunga dua minggu kemudian.

Pada Disember 2007, pasukan Vodafone-McLaren-Mercedes melantik Kovalainen sebagai rakan sepasukan Lewis Hamilton dari Britain. Dia terus bersama pasukan itu bagi musim 2008 dan 2009.

Tahun lepas, Kovalainen berjaya memperolehi dua tempat utama grid (pole) di British Grand Prix dan Hungarian Grand Prix. Kejayaannya dalam Hungarian Grand Prix itu menjadikannya pelumba ke-100 menjuarai Formula 1 Grand Prix.

Fairuz Fauzy

Fairuz dilahirkan pada 24 Oktober 1982 di Kuala Lumpur. Sejak kecil lagi, Fairuz telah mempamerkan kecenderungan untuk berlumba.

Ketika kawan-kawannya seusia dengannya menonton kartun dan bermain-main, Fairuz bermain go-kart di litar. Pada usia 12, dia telah berlumba dengan pemandu-pemandu senior di kejohanan-kejohanan bertaraf antarabangsa.

Pada tahun 1995, Fairuz ketika itu itu berusia 13 tahun meraih kemenangan pertamanya - The Formula TKM Race di Buckmore Park, England. Akhirnya tempat tersebut menjadi tapak untuknya melancarkan kerjayanya dalam Formula 1.

Fairuz terus menyertai beberapa perlumbaan. Hasilnya beliau merupakan penyandang juara ASEAN Kart Prix sebanyak lima kali, dari tahun 1996 hingga 2000.

Pada tahun yang sama, Fairuz berpindah ke United Kingdom untuk menyertai Kejohanan Formula Ford Zetec - siri perlumbaan pemandu solo bertaraf antarabangsa.

Selepas itu, dia bertanding dalam British Renault Sport Winter Series, British Formula Renault Championship, British Formula 3 Scholarship Class dan British Formula 3 Championship Class.

Dia berpindah ke Siri GP2 pada tahun 2005 dan mewakili pasukan DAMS. Beliau merupakan satu-satunya rakyat Malaysia dan salah satu pemandu dari Asia dalam kejohanan itu.

Fairuz kemudiannya bertanding dalam kejohanan yang sama pada 2006. Kali ini beliau bersama pasukan Super Nova International Racing.

Dalam tempoh tersebut, beliau turut merupakan salah satu pemandu A1 Team bersama Alex Yoong dalam A1GP.

Selepas GP2, Fairuz disahkan sebagai pemandu simpanan dan ujian untuk pasukan Spyker F1.

Dia juga menyertai Siri Dunia oleh Renault dengan pasukan Cram Competition pada tahun 2007; dan dengan pasukan Fortec Motorsport pada tahun berikutnya.

Pada tahun 2008, menyertai GP2 Siri Asia dengan pasukan Super Nova. Fairuz menjadi pelumba Asia yang pertama selepas menduduki tempat keempat daripada 26 pelumba dalam kejohanan tersebut.

Fairuz dicalonkan sebagai pemandu pertama untuk A1 Team Malaysia bagi musim 2008/09. Anak muda itu turut telah menyertai Siri Dunia oleh Renault untuk pasukan MofazFortec Motorsport.

Dia berjaya meraih tempat kedua untuk musim itu dengan 98 mata dan satu kemenangan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain