suria

Badminton Wanita Akhiri Penantian 34 Tahun Pingat Emas Berpasukan

VIENTIANE: Skuad badminton wanita negara semalam mencipta sejarah selepas mengakhiri penantian 34 tahun pingat emas selepas menewaskan pasukan pilihan Indonesia 3-1 dalam perlawanan akhir acara berpasukan wanita yang berlangsung di Gimnasium 1, Kompleks Sukan Nasional di sini.

Biarpun tidak mensasarkan sebarang pingat pada acara ini namun pemain wanita negara yang terdiri daripada gandingan pemain baru dan berpengalaman berjaya menyumbang pingat emas pertama badminton negara pada Sukan SEA di Laos.

Dua mata pertama negara dimenangi dengan mudah menerusi pemain perseorangan pertama negara, Wong Mew Choo yang menewaskan Adriyanti Firdasari 21-18, 21-17 manakala beregu Wong Pei Tty-Chin Eei Hui menyumbang mata kedua apabila menumpaskan Shendy Puspa Irawati-Meiliana Jauhari dengan mata 21-17, 21-13.

Pemain perseorangan kedua negara, Lydia Cheah bagaimanapun tewas kepada Maria Kristin 8-21, 9-21.

Mata ketiga, sekali gus mata kemenangan negara diperolehi menerusi pasangan 'bidan terjun' Woon Khe Wei-Ng Hui Lin dengan menewaskan Greysia Polii-Liliyana Natsir 19-21, 21-12, 21-18 dalam perlawanan yang mengambil masa 60 minit.

Ketua jurulatih beregu negara Rexy Mainaky berkata pujian perlu diberi kepada Khe Wei dan Hui Lin yang berjaya mengatasi tekanan dengan menewaskan pasangan yang lebih berpengalaman dari Indonesia.

"Biarpun baru digandingkan, beregu ini (Khe Wei dan Hui Lin) tidak mudah putus asa dan berani memberikan saingan sengit kepada Indonesia," katanya kepada pemberita di sini yang gembira sehingga terlupa kecederaan kaki yang dialaminya ketika menyaksikan pasukan badminton lelaki negara yang terlebih dahulu beraksi.

Rexy berkata beliau melihat pemain wanita kini perlu lebih yakin selepas menunjukkan peningkatan prestasi yang memberangsangkan selepas menjalani sesi latihan bersama-sama pemain lelaki.

"Sebelum ini mereka berlatih berasingan namun selepas ini diharap mereka tidak rasa rendah diri berbanding pemain lelaki dan terus meningkatkan prestasi," katanya.

Khe Wei, 20, yang dilihat seringkali tersenyum sepanjang perlawanan berkata beliau sebenarnya gemenntar kerana tidak pernah terfikir dapat membantu menyumbang mata kemenangan pasukan negara.

"Kami hanya diberitahu akan digandingkan bersama selepas sampai di Laos. Namun selepas mengetahui siapa lawan kami, kami hanya berserah kerana mereka lebih kuat dan cuba melakukan yang terbaik," katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim berkata kepuasan kemenangan yang dimenangi hari ini bukan hanya disebabkan berjaya menamatkan penantian panjang pingat emas daripada acara itu tetapi juga semangat juang yang tinggi ditunjukkan oleh atlet badminton wanita negara.

"Saya lihat semangat juang tinggi yang ditunjukkan pemain badminton wanita menentang Indonesia perlu diberi pujian biarpun di atas kertas kelebihan terletak pada Indonesia. Saya lihat cara mereka bermain dapat membakar semangat atlet lain untuk terus berjuang," katanya.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas ialah pada Sukan SEA 1975 di Bangkok namun selepas penyertaan pasukan Indonesia pada 1977, pasukan badminton wanita negara terus ditenggelami pemain dari Indonesia. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain