suria

Skuad Karate Raih Lima Emas Keseluruhan Lepasi Sasaran MSN

VIENTIANE: Skuad karate negara melepasi sasaran pingat yang ditetapkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dengan memenangi lima pingat emas berbanding tiga emas yang disasarkan daripada sukan itu yang melabuhkan tirai pertandingannya pada temasya Sukan SEA ke-25 di sini hari ini.

Acara karate yang bermula sejak Khamis lepas menyumbang keseluruhan lima emas, enam perak dan dua gangsa kepada kontinjen Malaysia.

Hari ini sahaja tiga pingat emas dan dua perak dimenangi skuad karate negara iaitu pingat emas menerusi atlet veteran negara, R.Puvaneswaran (lelaki bawah 55kg), G.Yamini (wanita bawah 68 kg) dan kumite wanita berpasukan (Jamaliah Jamaludin, M.Vasantha, G.Vathana), pada hari terakhir saingan sukan karate yang berlangsung di Gimnasium Chao Anouvong, di sini.

Pingat perak disumbangkan oleh L.Kunasilan daripada acara lelaki bawah 60kg dan acara kumite lelaki berpasukan yang dibarisi oleh Puvaneswaran, Kunasilan, Shaharudin Jamaludin, Mohd Hatta Mahamut dan L.Loganeshaa.

Ketua pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong yang juga ChefdeMission Malaysia ke Sukan Asia di Guangzhou, China jelas amat berpuas hati dengan pencapaian skuad karate negara terutama dengan pencapaian Jamaliah dan Mohd Hatta.

"Saya akan gilap mereka untuk lebih cemerlang dan mampu menyumbang emas pada Sukan Asia 2010," katanya.

Sementara itu, Puvaneswaran, 35, yang telah beraksi dalam lapan edisi Sukan SEA dengan mengumpul lima emas daripada acara yang sama berkata edisi di Vientiane ini merupakan temasya terakhir bagi dirinya.

"Dalam umur ini (35), ramai yang meragui kemampuan saya tetapi hari ini saya telah membuktikan saya masih boleh menyumbang emas kepada negara," katanya.

Puvaneswaran bagaimanapun terkilan kerana tidak dapat menamatkan kemarau emas selama 15 tahun dalam acara kumite berpasukan lelaki apabila pasukannya sekadar meraih perak selepas tewas 912 kepada pemenang pingat emas, Indonesia.

Beliau yang akan menjadikan saingan Sukan Asia di Guangzhou, China tahun depan sebagai penamat kariernya sebagai atlet berkata selepas temasya sukan terbesar di Asia itu, dia akan bertukar angin menjadi jurulatih. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Acara Sukan Sea Laos Hari Ini

Artikel Lain