suria

Corat-Coret Sukan Sea Ke-25 Di Vientiane

VIENTIANE: Berikut adalah corat-coret Sukan SEA ke-25 yang berlangsung di sini dari 9 hingga 18 Disember:

NASI GORENG AYAM RM10

Menjelang enam hari lagi sebelum Sukan SEA melabuhkan tirai pada 18 Disember ini, harga barangan di bandar ini semakin meningkat.

Daripada sewa van, harga makanan serta minuman botol, semuanya semakin mahal.

Sebuah restoran yang menyediakan makanan halal dan menjadi tumpuan pengunjung Islam, Nazim Restoran, hari ini mula menaikkan harga makanan serta minuman antara RM2 dan RM10, bergantung kepada kepopularan makanan dan minuman tersebut.

Contohnya, nasi goreng ayam yang sebelum ini berharga RM8 sepinggan, hari ini naik menjadi RM10 manakala teh tarik pula daripada RM2 kepada RM3.50 segelas.

Menurut salah seorang pekerja di restoran tersebut, kenaikan itu disebabkan banyak permintaan sempena Sukan SEA dan pekerja pula meminta tauke menaikkan gaji kerana mereka sibuk melayan pelanggan.

HARGA AIR BOTOL NAIK

Harga minuman botol juga tidak menentu. Sebotol air minuman 1.1 liter yang sebelum ini berharga RM1.20 kini dinaikkan kepada RM2 dan harga itu berbeza mengikut gelanggang sukan.

Disebabkan masalah bahasa, peniaga hanya perlu menunjukkan jarinya, bagi menunjukkan harga minuman tersebut.

NASI BUNGKUS

Atlet angkat berat negara merungut kerana dibekalkan nasi bungkus yang hanya mengandungi nasi putih dan setengah biji telur rebus, sebagai makan tengah hari.

"Bagaimana kami nak angkat besi jika hanya ini makanan yang disediakan, nasi putih dan telur rebus setengah," rungut mereka.

Pusingan awal bagi acara angkat berat yang berlangsung pada sebelah pagi dan disambung pada 3 petang, memaksa mereka terus berada di venue pertandingan dan tidak sempat balik ke Perkampungan Sukan untuk makan.

TERSALAH SOKONG

Masih ada rakyat Malaysia yang tidak mengetahui mengenai acara akuatik.

Seorang rakyat Malaysia yang melancong ke negara ini sambil menyaksikan temasya edisi ke-25 ini menyangka akuatik hanyalah bagi acara terjun sahaja manakala acara renang pula diadakan berasingan.

Begitu juga rakannya yang tersalah menyokong pasukan lawan buat seketika ketika Malaysia menentang Thailand pada perlawanan bola sepak peringkat Kumpulan A, dua hari lepas.

Pasukan Malaysia kebiasaannya memakai jersi kuning tetapi dalam perlawanan tersebut, mereka memakai jersi biru manakala Thailand pula berjersi kuning.

Akibat salah sangka, rakyat Malaysia itu tersalah menyokong lawan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Acara Sukan Sea Laos Hari Ini

Artikel Lain