suria

Bapa Bermotorsikal Ke Laos Untuk Beri Sokongan Kepada Anak

VIENTIANE: Demi kasih sayang, seorang bapa berusia 63 tahun dari Malaysia, Jaya Abdullah sanggup bermotosikal sejauh 2,400 km dari Petaling Jaya ke bandar ini, semata-mata untuk memberikan sokongan kepada anaknya, Adam, yang beraksi dalam acara tenis pada temasya Sukan SEA ke-25.

Jaya yang ditemui Bernama ketika singgah di sebuah kedai minuman di bandar ini berkata dalam usia emasnya, kasih sayang terhadap anak bongsunya itu membuatkan beliau sanggup bermotorsikal ke sini, yang mengambil masa perjalanan selama lima hari.

"Saya memulakan perjalanan dari Petaling Jaya pada 4 Disember lepas dan tiba di bandar ini pada 9 Disember. Isteri saya, Salwiah Mohd Nor, 59, menunggu ketibaan saya di bandar ini. Dia ke sini dengan penerbangan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Jaya yang menggunakan motorsikal berkuasa tinggi, Kawasaki Vulcan 800cc berkata sepanjang perjalanannya, beliau tidak menghadapi sebarang masalah.

Selain bertujuan bertemu anaknya, Adam yang menganggotai skuad tenis Malaysia ke Sukan SEA ke-25 di sini, Jaya juga mahu menghabiskan usia emasnya bermotorsikal ke seluruh Asia.

"Pada Oktober lepas, saya bermotorsikal ke Phuket, Thailand. Dan kini tiba ke Laos.

Mungkin tahun hadapan, saya akan bermotorsikal ke China," katanya.

Mungkin kerana berkat sokongan ibu bapanya, Adam yang bergandingan dengan Si Yew Ming dalam acara beregu lelaki menewaskan pasangan dari Kemboja, Ek Chamroeun/Orn Sambath 20, dalam pusingan awal acara tenis yang berlangsung di Gelanggang Tenis, Kompleks Sukan Nasional, di sini, hari ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Acara Sukan Sea Laos Hari Ini

Artikel Lain