suria

2009 Tahun Gemilang Negeri Adat Perpatih

SEREMBAN: Pertabalan Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan, laluan baru di Bukit Putus, dan kejayaan pasukan bola sepak negeri membawa pulang Piala Malaysia melengkapkan suasana gemilang Negeri Adat Perpatih tahun ini.

Tokoh politik veteran Tan Sri Isa Samad juga sempat mencuri perhatian apabila kembali dalam arena politik dengan kemenangan besar pada pilihan raya kecil negeri Bagan Pinang di Port Dickson.

Kejayaan skuad Rusa merangkul Piala Malaysia dengan sorakan "Hoben Jang Hoben" menewaskan Kelantan 31, menamatkan penantian 61 tahun setelah kali terakhir memenanginya piala itu pada 1948.

Kemenangan pada 7 November itu sekaligus menjadi hadiah paling istimewa buat Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang baru 12 hari ditabalkan sebagai Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan ke-11.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNs) menyifatkan kemenangan itu sebagai contoh terbaik dedikasi, disiplin tinggi dan bekerja sebagai satu pasukan, yang akan membawa kejayaan cemerlang. Tuanku Muhriz, 61, ditabalkan sebagai Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah pada 26 Oktober dalam upacara pertabalan yang penuh adat istiadat dan bersejarah dalam tempoh 40 tahun di negeri ini.

Baginda dimasyhurkan sebagai Yang DiPertuan Besar pada 29 Disember 2008, dua hari selepas kemangkatan Yang diPertuan Besar Negeri Sembilan ke-10 yang merupakan ayahanda saudara baginda, Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman, yang menaiki takhta pada April 1967.

Istiadat pemasyhuran itu adalah unik di Negeri Sembilan kerana pemilihan Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan ditentukan oleh Undang Yang Empat iaitu Undang Luak Sungai Ujong, Undang Luak Jelebu, Undang Luak Johol dan Undang Luak Rembau.

Sempena istiadat pertabalan, jalan baru Bukit Putus yang menghubungkan laluan Seremban-Kuala Pilah dibuka sementara untuk melicinkan laluan ribuan tetamu istimewa ke istiadat itu sebelum ia dibuka secara rasmi pada 25 November lepas.

Sejak sebelum Merdeka, penduduk daerah Kuala Pilah terutamanya terpaksa melalui laluan berliku untuk merentasi bahagian ekor banjaran Titiwangsa itu yang menghubungkan Seremban dengan daerah Timur Negeri Sembilan hingga ke sempadan Pahang. Projek jalan baru dua lorong sepanjang 6.9 kilometer itu membabitkan kos RM109.5 juta yang dibiayai sepenuhnya Kerajaan Persekutuan.

Menurut Pengarah Jabatan Kerja Raya negeri Dr Roslan Md Taha, keunikan jalan baru itu ialah ia mempunyai lima jambatan dengan jambatan setinggi 48 meter adalah yang kedua tertinggi dalam negara selepas jambatan di Lojing, Cameron Highlands.

Dalam pada itu, jambatan-jambatan tinggi juga sedang dibina di Bukit Mantin yang akan melicinkan perjalanan terus dari Kuala Lumpur ke Paroi dekat Senawang melalui Lebuh raya KajangSeremban (LEKAs) yang sudah pun siap sehingga ke Mantin.

Projek infrastruktur tersebut dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan kawasan pinggir Seremban yang semakin meningkat nilai hartanah ekoran minat yang mendadak di kalangan pembeli.

Di Port Dickson pula, nama Tan Sri Isa Samad yang pernah menjadi Menteri Besar selama 22 tahun tiba-tiba menjadi buah mulut selepas 4 September ekoran kematian Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang Azman Mohammad Noor dari Barisan Nasional (BN).

Isa yang menyepi dari politik ekoran dakwaan politik wang dalam Umno didapati masih popular di Port Dickson, lantas dipilih menjadi calon BN untuk kerusi Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang. Seperti diduga, Isa menang besar menumpaskan calon PAS, Zulkefly Mohamad Omar, dengan majoriti 5,435 undi iaitu peningkatan 110 peratus berbanding majoriti 2,333 undi BN pada pilihan raya umum lepas.

Dari aspek kebajikan pula Negeri Sembilan sentiasa memberi insentif berbentuk wang tunai antara RM5,000 dan RM10,000 kepada anak negeri yang menempah kejayaan cemerlang dengan memperoleh keputusan ijazah kepujian kelas pertama.

Tahun lepas 83 anak Negeri Sembilan berjaya memperoleh kepujian kelas pertama, manakala tahun ini 96 pelajar berjaya memperoleh kepujian yang sama. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Acara Sukan Sea Laos Hari Ini

Artikel Lain