suria

Skuad Bola Jaring Negara Tercorot Pada Kejohanan Piala Enam Negara

SINGAPURA: Skuad bola jaring negara terpaksa menerima hakikat menjadi pasukan tercorot pada kejohanan Bola Jaring Piala Enam Negara yang berlangsung di Dewan Sukan Toa Payoh di sini hari ini.

Pasukan itu menamatkan cabaran di tangga keenam selepas tewas kepada pasukan tuan rumah, Singapura 34-53 dalam penentuan tempat kelima dan keenam.

Pengurus pasukan negara, Remah Ahmad bagaimanapun percaya kejohanan ini memberi pengalaman berguna buat pemain-pemain kerana kejohanan itu turut disertai oleh pasukan-pasukan yang berada di kedudukan ke-20 terbaik dunia seperti Scotland, Ireland Utara, Tanzania dan Kanada.

"Kami tidak dapat menurunkan pemain terbaik kami, seperti penjaring, K. Aruna yang kini dalam persediaan menghadapi peperiksaan universiti. Kami hanya membawa tiga pemain berpengalaman manakala yang lain turun buat kali pertama dalam kejohanan bertaraf antarabangsa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, pengalaman ini cukup bermakna sebagai persediaan pasukan menghadapi kejohanan Asia di New Delhi, India yang akan berlangsung pada Jun depan.

Terdahulu, pasukan itu tewas pada perlawanan pembukaan ketika menentang Scotland 29-48 Ahad lepas, tewas kepada Singapura 33-39 (Isnin), tewas kepada Ireland Utara 41-66 (Selasa),kecundang 39-58 menentang Tanzania (Rabu) dan kalah kepada Kanada 45-63 (Khamis). -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain