suria

Pandalela, Ken Nee Sumbang Dua Lagi Pingat Emas

VIENTIANE: Penerjun negara, Pandalela Rinong dan Yeoh Ken Nee menepati ramalan untuk merangkul kedua-dua pingat emas yang ditawarkan dalam acara terjun yang berlangsung di Kolam Renang Kompleks Sukan Nasional di sini, hari ini.

Emas pertama acara terjun diperolehi menerusi Pandalela Rinong dalam acara 10m platform wanita dengan mengutip 362.95 mata.

"Pada terjunan hari ini, saya tidak berpuas hati dengan terjunan pertama dan keenam. Saingan tidak begitu kuat daripada negara-negara lain tetapi rakan saya, Traisy memberi tentangan yang hebat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pandalela,15, yang berasal dari Kuching Sarawak berkata beliau tidak menyangka kemenangan berpihak kepada beliau kerana penerjun Thailand juga memberikan saingan yang sengit.

Ketinggalan di belakang beliau dengan perbezaan 28.30 mata ialah rakan senegara, Traisy Vivien Tukiet yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak pada penampilan sulungnya di Sukan SEA manakala gangsa menjadi milik penerjun dari Thailand, Sukruthai Tommaoros.

Sementara itu, dalam acara 3m papan anjal lelaki, Ken Nee seperti sudah diduga untuk memenangi acara kegemarannya itu selepas mengumpul 450.45 mata daripada enam terjunan.

Pingat perak menjadi milik penerjun dari Filipina, Nino Carog (429.00 mata) manakala gangsa dimenangi seorang lagi penerjun negara, Muhammad Fakhrul Izzat Md Zain dengan 423.75 mata.

"Ia sesuatu yang membanggakan untuk menang sekali lagi. Ia adalah pingat emas kelima saya dalam acara 3m papan anjal dan pingat emas yang ke-12 saya dalam Sukan SEA.

Tumpuan saya selepas ini ialah untuk terus meraih pingat emas untuk negara," katanya yang telah mewakili negara ke Sukan SEA sejak tahun 1995.

Esok, dua lagi pingat emas ditawarkan menerusi acara 10m platform seirama wanita dan 3m papan anjal seirama lelaki. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain