suria

Corat-Coret Sukan SEA Ke-25 Di Laos, Vientiane

VIENTIANE: Berikut adalah corat-coret dari Sukan SEA ke-25 yang berlangsung di sini dari 9 hingga 18 Disember:

Atlet dari sukan berbasikal extreme merupakan kumpulan pertama anggota kontinjen negara yang pulang ke Malaysia hari ini.

Bagaimanapun kepulangan mereka, selepas tamat acara semalam, membawa sebutir pingat gangsa yang diraih oleh Masziyaton Radzi dari acara merentas desa yang berlangsung semalam.

Pekerja penyelenggaraan dan pembersihan di Kolam Renang, Kompleks Sukan Nasional di sini menggunakan perca kain yang diikat kepada sebatang kayu sebagai ganti pengelap lantai. Keadaan di kolam renang yang sentiasa basah dari percikan air menjadikan mereka terpaksa mengelap lantai sekerap mungkin.

Di sekitar bandar pula, pekerja pembersihan menggunakan beberapa batang buluh sepanjang satu meter setengah, yang dihujungnya terdapat daun yang diikat, sebagai ganti penyapu.

Walaupun tidak banyak sampah di tepi-tepi jalan di sini berbanding di Malaysia, namun bandar ini diselubungi debu daripada jalan tanah merah dan dari kawasan kosong yang ditambak dengan tanah merah.

Masyarakat di Laos juga mementingkan penjagaan kesihatan melalui pengambilan ubat-ubatan tradisional.

Contohnya di pasar pagi di tengah-tengah bandar ini, banyak kedai ubat-ubat tradisional yang menjual pelbagai jenis akar dan potongan kayu yang telah dibungkus.

Akibat masalah bahasa, seorang penjual lelaki menunjukkan lengannya yang keras sebagai simbol akar kayu yang dijualnya bagi tujuan menguatkan tenaga kelakian sementara penjual wanita memegang perutnya, mungkin potongan dan akar kayu yang dijual bagi menguatkan rahim wanita selepas bersalin. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain