suria

Kelantan Ambil Pemain Baru Wakili Skuad Piala Presiden

KOTA BAHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menyusun barisan pemainnya bagi memastikan skuad kijang mencatat sejarah kegemilangan buat kali kedua untuk Piala Presiden musim 2010, selepas merangkul naib juara Piala Malaysia musim lepas.

Naib Presiden KAFA, Rosmadi Ismail berkata menerusi penyusunan semula itu, KAFA mula mengambil pemainnya untuk musim depan secara terbuka di seluruh negeri ini.

"Pengambilan pemain baru itu berdasarkan kelayakan apabila diturunkan dalam ujian latihan di semua jajahan yang ditetapkan di seluruh negeri," katanya pada sidang akhbar di Wisma KAFA, Kampung Chicha, di sini, hari ini.

Menurutnya 'roadshow' ujian permainan akan diadakan di seluruh negeri sepanjang bulan ini.

Di Jeli, ujian akan diadakan di padang Majlis Daerah (MD) Jeli pada 10 Disember; Daerah Pasir Mas, Tumpat dan Rantau Panjang diadakan di padang Majlis Daerah Pasir Mas (11-12 Disember); bagi daerah Tanah Merah, Machang,Kuala Krai dan Gua Musang ujian akan diadakan di padang MD Machang (13-14 Disember); bagi jajahan Pasir Puteh dan Bachok di padang MD Pasir Puteh dan bagi daerah Kota Bharu di Padang Perdana (17-18-19-20 Disember), di sini, katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta mereka yang berminat untuk menyertai ujian latihan itu supaya datang sendiri ke tempat yang sudah ditetapkan itu pada tarikh berkenaan selain menghubungi KAFA, di talian 09-7666360.

Menurut Rosmadi latihan itu dikendalikan oleh ketua jurulatih, B Sathianathan dengan dibantu Pengarah Jurulatih KAFA, Kamaruddin Mat Noor.

Beliau berkata mesyuarat jawatankuasa yang diadakan semalam mengambil keputusan mengekalkan empat pemain lama untuk Piala Presiden musim depan.

Mereka ialah Zamri Ramli; Mohd Izuan Salahuddin; Mohd Haniff Mohd Noor dan Hafizi Tuan Mahmud.

"Mereka akan digandingkan dengan bakal pemain yang akan dipilih dalam siri ujian yang dijalankan di seluruh negeri," katanya.

Sehubungan itu, Rosmadi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Kelantan, mengalu-alukan penyertaan pemain bukan Melayu menyertai siri latihan itu untuk dipilih menyertai skuad Kijang Piala Presiden musim depan.

"Ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk merealisasikan konsep 1Malaysia," katanya. BERNAMA

Artikel Lain