suria

Singapura, Myanmar Gugat Harapan Emas Malaysia

VIENTIANE: Pemain kebangsaan Muhd Shakirin Ibrahim dijangka menghadapi laluan penuh mencabar untuk mempertahankan pingat gangsa yang dimenanginya bagi acara ping pong pada Sukan SEA Korat dua tahun lepas berikutan kehadiran pemain kelahiran China dalam pasukan Singapura dan Myanmar pada Sukan SEA di sini.

Muhd Shakirin, 25, yang akan beraksi bagi kali ketiga pada Sukan SEA, berkata Singapura telah menyenaraikan semua pemain kelahiran China, manakala Myanmar juga dijangka bertindak serupa.

"Singapura telah membuktikan kehebatan mereka pada Sukan SEA Korat dua tahun lepas dengan menyapu bersih kesemua tujuh pingat emas yang ditawarkan melalui acara itu," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Muhd Shakirin, pemain bukan Cina pertama yang menganggotai skuad ping pong kebangsaan, meraih dua pingat gangsa pada sukan dua tahun sekali itu Sukan SEA Manila pada 2005 dan Sukan SEA Korat pada 2007.

Di Manila, dia memenangi pingat itu bagi acara beregu campuran bersama Beh Lee Wei, manakala di Korat pula apabila berpasangan dengan Chia Kian Beng bagi acara beregu lelaki.

Di Vientiane, Muhd Shakirin akan mengambil bahagian dalam acara perseorangaan dan beregu.

Sementara itu, seorang lagi pemain bukan Cina dalam skuad Malaysia Muhamad Asraf Haiqal Muhamad Rizal, 15, yang pertama kali beraksi pada Sukan SEA, berkata kejayaannya meraih pingat gangsa pada Kejohanan Junior SEA di Thailand Jun lepas akan menjadi pembakar semangat baginya untuk mencapai kejayaan cemerlang pada kejohanan kali ini.

"Jurulatih berkata pendedahan pada Sukan SEA Vientiane adalah baik bagi saya," kata Muhamad Asraf Haiqal yang berpasangan dengan Chee Kien Ee pada kejohanan di Thailand itu.

Pada Sukan SEA ini, Muhamad Asraf akan berpasangan dengan Kho Moo Sheng bagi acara beregu lelaki dan acara berpasukan.

Pengurus pasukan Soong Poh Wah berkata pasukan itu mensasarkan memenangi sekurangkurangnya dua pingat gangsa melalui Beh Lee Wei (perseorangan wanita) dan Muhd Shakirin/Chia Kian Beng (beregu lelaki).

"Kami berharap akan menang pingat emas bagi acara beregu wanita melalui Beh Lee Wei/Ng Sock Khim, tapi harapan ini nampaknya berkecai memandangkan Sock Khim masih menerima rawatan bagi kecederaan lutut kanannya," kata beliau.

Skuad ping pong Malaysia akan memulakan aksinya Selasa ini di Dewan Konvensyen Universiti Nasional Laos dekat sini.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain