suria

Piala Monsoon 2009 Tawar Hadiah Sehingga RM1.57 Juta

KUALA TERENGGANU: Piala Monsoon 2009 yang akan memasuki tahun kelimanya dalam aksi perlumbaan kapal layar di Pulau Duyong, di sini dari 1 hingga 6 Disember ini akan menawarkan hadiah paling lumayan dalam mana-mana acara sukan layar dunia, menjangkau jumlah USD454,000 (RM1.57 juta).

Peningkatan jumlah hadiah itu adalah hasil sokongan penaja utama Piala Monsoon, yang merupakan peringkat perlumbaan pusingan akhir buat World Match Racing Tour (WMRT).

Pemenang akan menerima RM360,000 (USD104,000) manakala pasukan terakhir (di tempat ke-12) akan menerima RM50,000 (USD14,400).

Penasihat lumba Piala Monsoon Datuk Peter Gilmour berkata peningkatan jumlah hadiah itu menjadikan perlumbaan tersebut menawarkan hadiah paling tinggi dalam acara sukan kapal layar tahun ini.

"Apa yang lebih penting ialah Piala Monsoon menandakan peringkat akhir WMRT di mana pemenang akan dinobat dengan takhta gelaran juara dunia ISAF," menurutnya dalam satu kenyataan semalam.

Gilmour berkata peningkatan hadiah tunai itu berpunca daripada peningkatan komitmen penajaan dari kalangan penaja utama dan juga kerajaan negeri Terengganu dalam menyediakan kemudahan yang cukup baik, di samping sokongan antara kerajaan yang membawa acara itu ke tahap yang lebih tinggi.

WMRT adalah siri pelayaran profesional berprestij yang menampilkan sembilan acara kejohanan Dunia di seluruh dunia dan kejohanan dunia itu diiktiraf oleh Persekutuan Pelayaran Antarabangsa (ISAF) dengan status "Acara Istimewa", di samping perlumbaan seumpamanya yang termasuk America's Cup dan Volvo Ocean Race.

Sementara itu Pengarah perlumbaan WMRT Craig Mitchell berkata pihaknya amat gembira melihat Malaysia sekali lagi menampilkan jumlah hadiah yang cukup lumayan untuk WMRT.

"Jumlah hadiah yang ditawarkan Match Cup Korea memintas hadiah Piala Monsoon pada tahun 2007, dan kini Piala Monsoon kembali menawarkan hadiah tertinggi dengan menawarkan tambahan 50 peratus lagi jumlah keseluruhannya, ia adalah perkembangan yang cukup menakjubkan," katanya. BERNAMA

Artikel Lain