Kelab Peminat Gesa Nizar Letak Jawatan Presiden PAFA - Sukan | mStar

Kelab Peminat Gesa Nizar Letak Jawatan Presiden PAFA

IPOH: Kelab Peminat Bola Sepak Perak hari ini menggesa Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin meletakkan jawatannya serta membubarkan jawatankuasa persatuan itu bagi membolehkan pemilihan baru dibuat.

Presidennya, Abdul Jamil Osman berkata, langkah Mohammad Nizar melewatlewatkan peletakan jawatannya boleh menyebabkan pasukan Perak gagal menyertai kejohanan bola sepak Liga Malaysia musim depan.

"Kita sedar beliau gagal mendapatkan bantuan kewangan untuk melangsaikan hutang tertunggak kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebanyak RM272,000 sebelum hujung bulan ini.

"Walaupun ia berpunca dari perubahan undang-undang FAM tetapi sudah menjadi tanggungjawab beliau sebagai peneraju utama PAFA untuk menyelesaikan dengan cara betul," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abdul Jamil berkata, semenjak Mohammad Nizar mengetuai PAFA, banyak aktiviti Kelab Peminat Bola sepak Perak turut terbantut kerana kekurangan peruntukan kewangan yang disalurkan untuk kelab itu.

Beliau berkata pihaknya yakin kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) di Perak boleh memberikan peruntukan bagi menyelesaikan masalah kewangan PAFA sekiranya Mohammad Nizar melepaskan segera jawatannya itu. BERNAMA

Artikel Berikut

KEPUTUSAN LIGA PERDANA ENGLAND

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

"Saya tak kenal wanita itu" - Issey

Ustazah Nur Farhana agak lemah - Adik