suria

England tidak akan menang Piala Dunia, dakwa Ferguson

PENGURUS Manchester United Sir Alex Ferguson tidak mempercayai England akan memenangi Piala Dunia pada musim panas depan.

Ferguson membuat dakwaan tersebut walaupun sembilan pemain daripada skuad pasukannya berhajat menjadi pemain utama pasukan Fabio Capello semasa final.

Warga Scotland itu sebaliknya mempertaruhkan Brazil untuk menjulang Piala Dunia buat kali keenam.

"Saya tidak melihat mana-mana pasukan setanding Brazil hakikatnya," media memetik Ferguson sebagai berkata.

"Mereka akan menjadi pasukan handalan di Afrika Selatan nanti. Mereka sukar dikalahkan. Anda cuma perlu fikirkan pemain-pemain mereka.

"Mereka adalah sumber pemain-pemain bolasepak yang hebat," kata Ferguson.

Menurut Ferguson, terdapat 103 pemain Brazil dalam Liga Juara-Juara Bola Sepak berbanding 15 pemain England.

Malah katanya, lebih ramai pemain Scotland bermain dalam liga itu berbanding pemain England.

"Saya rasakan pertaruhan 11/10 untuk Brazil mengalahkan England adalah pertaruhan untuk abad ini," katanya.

Wayne Rooney, Rio Ferdinand, Michael Carrick, Wes Brown dan Ben Foster berpeluang besar mewakili England di Piala Dunia Afrika Selatan.

Manakala Owen Hargreaves, Michael Owen, Gary Neville dan Danny Welbeck berpeluang besar dipilih menyertai skuad Capello.

Capello cuba memimpin England menjulang piala itu di luar negara buat julung-julung kali.

"Bilangan pemain Inggeris yang kurang pada Liga Juara-Juara Bolasepak berpunca daripada cara Liga Perdana dibangunkan," kata Ferguson.

Beliau mempersoalkan sampai bila Liga Perdana Inggeris akan membariskan lebih ramai pemain Inggeris dalam pemain-pemain kesebelasan utama setiap pasukan.

Dalam aspek ini, Ferguson berkata kelabnya memberi ruang kepada pemain-pemain muda Inggeris untuk beraksi.

Artikel Sebelum

Artikel Lain