suria

Sukan SEA: Terbuka Perak Medan Terakhir Atlet Olahraga Sebelum Ke Laos

KUALA LUMPUR: Hasrat Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) untuk menghantar atletnya berlatih di luar Lembah Klang sebelum Sukan SEA di Laos tidak kesampaian apabila Majlis Sukan Negara (MSN) sekali lagi menolak permohonannya untuk menganjurkan kem latihan persediaan di Pahang.

Timbalan Presiden KOAM Karim Ibrahim berkata pihaknya akur dengan keputusan MSN tetapi berusaha mencari jalan terbaik untuk melengkapkan persediaan atletnya sebelum berangkat ke Laos.

"Walaupun atlet kini menghadapi sedikit kesukaran dengan keadaan cuaca yang tidak menentu sejak akhir-akhir ini akibat hujan lebat, saya percaya mereka masih mempunyai semangat dan kecenderungan tinggi untuk berlatih," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Sebelum ini, KOAM menghantar permohonan untuk menganjurkan kem latihan persedian di Kota Kinabalu, Sabah namun permohonan tersebut ditolak oleh MSN.

Karim berkata oleh kerana tidak ada latihan luar untuk atlet olahraga sebelum ke sukan SEA Laos, KOAM membuat keputusaan untuk menghantar atlet baru dan lama menyertai Kejohanan Terbuka Perak yang bermula di Ipoh, esok sebagai medan terakhir membuat persediaan sebelum menyertai latihan pusat MSN di pada 30 November ini.

"Kita juga akan menjadikan Kejohanan Terbuka Perak sebagai medan pemilihan terakhir untuk atlet junior yang akan bertanding di bawah tiket kategori B ke Laos," katanya.

Beliau berharap semua atlet khususnya atlet junior membuktikan kemampuan dan kesungguhan mereka dengan sebaik mungkin sekiranya ingin dipilih menyertai skuad kebangsaan ke temasya dwi tahunan itu.

Karim berkata senarai terakhir atlet bagi kategori B akan dihantar kepada pihak MSN selepas pemilihan dibuat berdasarkan pencapaian di Kejohanan Terbuka Perak nanti.

"MSN tidak mahu kita hantar bilangan atlet junior yang ramai sebagai pendedahan maka kita terpaksa memilih hanya atlet yang terbaik sahaja," katanya.

Atlet yang layak ke Laos di bawah kategori A ialah S.Mathialagan, Mohd Jironi Riduan (800m), Yuan Yu Fang, Lo Choon Sieng, Teoh Boon Lim (20km jalan kaki), Lee Hup Wei (lompat tinggi), Mohd Hafizuddin Shahadan (lompat bergalah), M.Vadivellan (800m, 5000m, 1500m), Chan Woo Yew (maraton), Noraseela Mohd Khalid (400m berpagar), Roslinda Samsu (lompat bergalah) dan Tan Song Hwa (baling tukul besi).

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain