suria

Silat Sasar Dua Emas Di Laos

BUKIT FRASER: Pasukan silat kebangsaan mensasarkan untuk meraih dua pingat emas pada Kejohanan Sukan SEA yang akan berlangsung di Laos bermula 9 Disember ini.

Pengurus pasukan, Osman Nok berkata sasaran itu dilihat realistik berdasarkan kepada kemampuan pesilat pada kali ini walaupun pasukan negara hanya merangkul satu pingat perak dan lima gangsa pada kejohanan lepas di Thailand.

Ketika ini, katanya seramai 16 pesilat termasuk enam pesilat wanita giat menjalani latihan di Bukit Fraser sebagai persediaan menghadapi cuaca sejuk di Laos.

"Bagi mencapai sasaran itu, kami telah menjalani latihan selama enam jam sehari di sini kerana untuk menyesuaikan pesilat dengan keadaan cuaca di Laos selain tidak mendapat gangguan daripada pihak luar," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Katanya pesilat juga diberi bimbingan daripada segi motivasi untuk kekuatan mental bagi menghadapi tekanan ketika kejohanan.

Ketua jurulatih Mat Nor Mahmud; jurulatih silat olahraga Hussien Zawawi dan jurulatih silat seni Nasri Nasir turut menjayakan latihan selama 17 hari yang bermula sejak 9 November lepas. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain