suria

MYA Yakin Pelayar Negara Mampu Cipta Kejayaan Di Ioda Asia

LANGKAWI: Pencapaian selaku pasukan terbaik dalam beberapa kejohanan dunia meyakinkan Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA) untuk meraih kemenangan pada Kejohanan Optimist Asia Persatuan Optimist Dinghy Antarabangsa (IODA) di sini pada 12 hingga 20 Dis depan.

"Pada kejohanan tahun lalu di Qatar, Malaysia muncul naib johan di belakang Thailand dalam acara berpasukan. Sementara itu, China meraih kejuaraan untuk acara individu," kata Timbalan Presiden MYA Lukman Abu Bakar.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar mengenai kejohanan berkenaan di Pusat Pelayaran Kebangsaan, Pokok Asam di sini, semalam.

Katanya seramai 14 pelayar negara akan membawa cabaran Malaysia termasuk termasuk empat yang akan dikenalpasti melalui Kejohanan Perahu Layar Kebangsaan KFC-MYA-Milo 2009 yang akan berlangsung di sini pada 6 hingga 10 Dis.

Setiap negara dibenarkan menghantar tujuh pelayar manakala Malaysia selaku tuan rumah diberi kelonggaran untuk menghantar 14 pelayar.

Menurut Lukman, daripada lapan pelayar kebangsaan yang sedia ada sekarang, lima daripadanya telah mengharumkan nama negara dengan memenangi The Miami Herals Tropy selaku pasukan terbaik pada Kejohanan Layar Optimist IODA Dunia 2009 di Niteroi, Brazil bulan lepas.

Mereka ialah Mohamad Faizal Norizan, Mohamad Farhan, Ahmad Latif Khan Ali Sabri Khan, Ahmad Shukri Abdul Aziz dan Nurliyana Mohamad Latif.

Menyentuh mengenai Kejohanan Optimist Asia IODA itu, Lukman berkata setakat ini seramai 140 pelayar dari 30 buah negara telah mengesahkan penyertaan mereka.

"Selain penyertaan daripada negaranegara Asia, kejohanan di sini juga turut menarik penyertaan beberapa negara luar seperti Slovenia, Austria, Australia, Itali, New Zealand, Perancis dan Poland.

"Kehadiran peserta-peserta dari negara ini secara tidak langsung akan memberikan saingan yang sihat kepada para pelayar negara. Kebenaran seumpama ini pertama kali dibuat dalam IODA Asia," katanya.

Kejohanan dianjurkan dengan kerjasama Majlis Sukan Negara, Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Pelancongan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain