suria

Kementerian Diminta Bantu Dapat Kelulusan Rasmi Sukan Perpaduan Remaja Islam

KUALA LUMPUR: Penganjur Kejohanan Sukan Perpaduan Remaja Negara Islam meminta Kementerian Belia dan Sukan (KBs) campur tangan bagi mendapatkan kelulusan rasmi daripada pihak Islamic Solidarity Sports Federation (ISSF) untuk menganjurkan kejohanan itu di negara ini pada 2011 nanti.

Pengerusi kejohanan Datuk Dr Raja Mohamad Abdullah berkata pihaknya telah mendapat persetujuan secara lisan daripada ISSF untuk menganjurkannya namun belum menerima surat rasmi dari badan antarabangsa itu.

"Sekiranya masih gagal mendapat persetujuan rasmi daripada ISSF tahun hadapan, kami terpaksa menganjurkan sendiri kejohanan itu dengan meminta bantuan daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

"Namun demikian saya masih berharap KBS dapat membantu kami untuk mendapat kelulusan rasmi dari ISSF sebelum 2011," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dr Raja Mohamad berkata pihaknya sebelum ini pernah memohon kepada KBS untuk memberikan kelulusan penganjuran kejohanan itu tetapi KBS memberikan syarat penganjur perlu terlebih dahulu mendapat kelulusan ISSF.

"Kami hanya minta KBS membantu mempercepatkan kelulusan rasmi dari ISSF," katanya.

Beliau berkata pihaknya memerlukan perbelanjaan sekurang-kurangnya RM100 juta untuk menganjurkan kejohanan yang melibatkan 57 negara-negara Islam di dunia.

Namun masalah kewangan bukan kekangan bagi pihak penganjur selepas banyak badan korporat dari negaranegara Arab bersetuju untuk menaja kejohanan itu, katanya.

"Sukan ini dianjur bagi merapatkan hubungan persaudaraan antara negara-negara Islam di seluruh dunia," katanya.

Dr Raja Mohamad berkata 11 acara akan dipertandingkan antaranya ialah akuatik, badminton, bola sepak, hoki, tenpin boling dan olahraga. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain