suria

Johor Bahru Tuan Rumah Pusingan Akhir Super Series

KUALA LUMPUR: Johor Bahru dipilih oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sebagai tuan rumah Pusingan Akhir Super Series Masters BWF Yonex-Sunrise dari 2 hingga 6 Disember depan.

Sebelum ini, bandaraya itu pernah menjadi tuan rumah bagi tiga Kejohanan Asia dari 2006 hingga 2008 dan Grand Prix Emas Terbuka Malaysia 2009 pada Jun lepas.

"Sekali lagi, kami ingin merakamkan penghargaan kepada BAM (Persatuan Badminton Malaysia) kerana menerima cabaran untuk menganjurkan pusingan akhir ini dan kami gembira untuk mengumumkan Johor Bahru sebagai venuenya.

"Dengan beberapa pemain utama Malaysia layak beraksi pada pusingan akhir itu, BWF yakin para penyokong akan datang untuk menyokong sepenuhnya kejohanan ini," kata Ketua Pegawai Operasi BWF Thomas Lund dalam satu kenyataan.

Kejohanan Super Series Dunia BWF merupakan kejohanan 12 pusingan yang menawarkan jumlah wang tunai keseluruhan paling rendah sebanyak AS$200,000 (RM675,000) bagi setiap pusingan.

Bagi pusingan akhir, wang tunai keseluruhan adalah AS$500,000 (RM1.68 juta)) dengan pemenang perseorangan lelaki dan wanita masing-masing akan membawa pulang AS$40,000 (RM132,020).

Format pusingan akhir kekal dengan lapan pemain atau pasangan beregu yang berada dalam kedudukan teratas ranking Super Series, layak ke pusingan akhir itu.

Bagaimanapun, ia terhad kepada maksimum dua penyertaan bagi setiap acara untuk sesebuah persatuan.

Kejohanan itu melibatkan saingan peringkat kumpulan diikuti perlawanan separuh akhir dan perlawanan akhir pada 6 Disember. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain