suria

Majlis Paralimpik mahu pembangunan dari akar umbi

PUTRAJAYA: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) berhasrat untuk bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) bagi memulakan pembangunan sukan paralimpik di semua sekolah-sekolah pendidikan khas di seluruh negara.

Presidennya, Datuk Zainal Abu Zarin berkata usaha mengukuhkan sukan paralimpik adalah tanggungjawab semua pihak dan ia perlu dilakukan secara bersama bermula di peringkat akar umbi lagi.

Beliau berkata MPM dan KPM menjalin kerjasama erat sejak sekian lama, namun sehingga ini ia berjalan secara tidak rasmi, dan menurutnya beliau berharap satu pelan bersama dapat diwujudkan antara kedua pihak selepas ini.

"Pelan bersama ini perlu diwujudkan agar usaha mengukuhkan sukan paralimpik di peringkat akar umbi dapat dijalankan secara lebih teratur dan berkesan," katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan cek bernilai RM12,000 daripada Kenji Kojima, pengarah Yayasan Japanese Chamber of Trade and Industry (JACTIM) di sini hari ini.

Katanya jika usaha memberi pendedahan sukan paralimik dapat dimulakan sejak awal lagi, pada masa hadapan negara tidak akan mempunyai banyak masalah untuk mengumpul atlet paralimpik yang berkelayakan untuk menyertai kejohanan peringkat antarabangsa seperti temasya Paralimpik London 2012.

Sementara itu beliau mengalu-alukan sumbangan daripada Yayasan JACTIM dan berharap ia akan diteruskan bagi membantu usaha memajukan sukan paralimpik dalam negara.

"Selama lapan tahun berturut-turut Yayasan JACTIM tidak pernah putus memberi sumbangan kepada MPM dan RM800,000 disumbangkan oleh JACTIM setakat ini. Dengan adanya sumbangan secara berterusan ini, MPM dapat mempelbagaikan acara sukan untuk masa hadapan kerana kos pembelian peralatan sukan paralimpik adalah juah lebih besar berbanding alat sukan kegunaan atlet normal," katanya.

Pada majlis tersebut, MPM turut menyumbang peralatan sukan kepada pengarah bahagian pendidikan khas KPM, Bong Muk Shih, untuk kegunaan pelajar sekolah pendidikan khas di seluruh negara. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain