suria

Shabery arah Perbadanan Stadium Bukit Jalil buat laporan polis

HULU TERENGGANU: Perbadanan Stadium Bukit Jalil diarahkan supaya segera membuat laporan terperinci tentang jumlah kerosakan di stadium itu yang dipercayai akibat perbuatan khianat yang dilakukan oleh sesetengah peminat bola sepak semasa menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia malam kelmarin.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata beliau mahu satu laporan polis dibuat sekiranya siasatan mendapati terdapat unsur-unsur khianat dalam kejadian malam tadi sehingga mengakibatkan kerusi di tempat duduk penonton dibakar.

"Saya sendiri nampak kerusi terbakar lebih dua tiga tempat tetapi saya tidak mahu tuduh penyokong pasukan mana dan saya minta pihak perbadanan stadium supaya membuat laporan segera menilai kerosakan.

"Sekiranya ada unsur khianat, saya minta mereka buat laporan polis dan saya percaya polis ramai malam semalam dan mereka mempunyai kelengkapan seperti kamera untuk mengesahkan ia perbuatan khianat atau tidak," katanya ketika ditemui selepas majlis sukarelawan muda Kementerian Belia dan Sukan membantu mangsa banjir di Kampung Bukit Tadok di sini semalam.

Ahmad Shabery berkata demikian ketika diminta mengulas insiden membakar kerusi yang dipercayai dilakukan oleh penyokong pasukan Kelantan ekoran tidak puas hati dengan kekalahan pasukan mereka kepada Negeri Sembilan dalam perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Bukit Jalil malam tadi.

Dalam perlawanan akhir itu, Negeri Sembilan berjaya mengakiri kemarau 61 tahun untuk menjulang trofi Piala Malaysia setelah menewaskan Kelantan 3-1. . Polis dilaporkan turut menahan seorang penyokong pasukan Kelantan semalam kerana cuba mencetuskan pergaduhan dengan penyokong Negeri Sembilan selepas tamat perlawanan.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata mereka yang berkenaan patut dihadapkan ke muka pengadilan dan dikenakan tindakan sewajarnya kerana kebakaran yang dilakukan oleh penyokong bola sepak yang terlalu fanatik dengan pasukan mereka itu boleh mengakibatkan tragedi yang lebih teruk sehingga mengorbankan banyak nyawa sekiranya pihak berkuasa lambat bertindak malam kelmarin.

"Tragedi kemungkinan berlaku dan perkara ini tidak boleh dipandang ringan. Kita minta polis supaya menjalankan siasatan serta mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat kerana kes ini tidak boleh dipandang ringan," katanya.

Beliau turut kesal dengan sikap sesetengah penyokong yang menjadikan perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia semalam seolah-olah sebagai gelanggang politik apabila membawa masuk bendera serta lambang parti.

Ditanya bentuk tindakan terhadap pasukan yang gagal mengawal penyokong mereka, Ahmad Shabery berkata beliau menyerahkan perkara itu kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk memutuskannya bagi mengelakkan kejadian sama berlaku pada masa akan datang. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain