suria

Ragbi : NS Wanderers sasar juarai kejohanan Cobra 10 sebelah

KUALA LUMPUR: NS Wanderers mensasarkan untuk muncul juara pada kejohanan ragbi Jemputan Antarabangsa HSBCCobra 10 sebelah kali ke-40 yang akan bermula hujung minggu ini bagi menambah jumlah gelaran juara dalam senarai pencapaiannya.

Pengurus pasukan Fahmi Jalil berkata melalui usaha gigih dan semangat berpasukan yang kukuh di bawah bimbingan jurulatih Kumal, NS Wanderers, yang turut diperkuatkan oleh pemain import dari Fiji, telah menjuarai kejohanan Jonan Jonas 7 sebelah, NS Royal 7 sebelah, Bali 10 sebelah dan Borneo 7 sebelah.

"Selepas mencatat kejayaan pada kejohanan Borneo 7 sebelah di Kota Kinabalu, Sabah, kami juga mencapai sasaran untuk sampai ke peringkat suku akhir pada kejohanan Singapore Cricket Club 7 sebelah yang berakhir baru-baru ini, di mana kami kalah kepada pasukan kebangsaan Jepun 5-7 Ahad lepas," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

NS Wanderers juga, katanya menjadikan kemenangan Negeri Sembilan pada kejohanan bola sepak Piala Malaysia baru-baru ini sebagai perangsang untuk mencatat kemenangan pada kejohanan kali ini.

"Berbekalkan semua faktor positif ini serta prestasi cemerlang dan momentum kemenangan sedia ada, kini kami meletakkan sasaran untuk menjuarai kejohanan Cobra 10 sebelah pula," katanya.

Untuk rekod, NS Wanderers belum pernah memenangi Piala Cobra 10 sebelah sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 1967.

Kejohanan kali ini, antara lain, turut disertai pasukan Northlink College dan RSC Dogs dari Afrika Selatan, Cobra, Terengganu, Royal Thai Navy, FARS Iran Alor Star Blues, Penguin International dari United Kingdom dan Borneo Eagles.

Juara akan menerima hadiah AS$3,000 (RM10,137), naib juara AS$2,000(RM6,758) manakala juara Plate RM1,000. Tiada hadiah wang disediakan bagi juara Bowl.

Kumpulan A: Penguin International (UK), Sabah Eagles, Sekolah Alam Shah (ASAs) dan Kuching RFC;

Kumpulan B: NS Wanderers, Northlink College, RSC Dogs dan Terengganu;

Kumpulan C: Borneo Eagles, Swanbourne Nomads (New Zealand), JLJ Angkatan Tentera Malaysia, Indian RU;

Kumpulan D: Cobra, Royal Thai Navy, FARS Iran dan Alor Star Blues.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain