suria

Pelumba Malaysia kurang menyengat dalam aksi turun bukit

MELAKA: Pelumba negara terpaksa membuat perhitungan serius menjelang Sukan SEA Laos bulan depan apabila gagal menyerlah pada Kejohanan Lumba Basikal Gunung Asia ke15 di Bukit Beruang, Ayer Keroh, dekat sini semalam.

Malaysia hanya mampu meraih pingat gangsa dalam acara lelaki remaja menerusi Muhammad Aim Mohd Fauzi manakala kesemua empat kategori yang dipertandingkan dikuasai oleh pelumba Jepun, Indonesia dan Thailand.

Dalam acara lelaki elit, pelumba Indonesia Popo Ario muncul juara apabila mencipta catatan masa 2 jam 39 minit 498 saat dengan menuruni bukit sepanjang 1.5 kilometer.

Pelumba Jepun Naoki Idegawa meraih pingat perak dengan masa 2'43:617s diikuti oleh gangsa milik Tanaphon Jarupeng dari Thailand dengan catatan masa 2'50:283s.

Pelumba negara Jr.Stanley Jalip hanya mampu menduduki tempat keenam dengan catatan masa 2'55:575s.

Dalam acara wanita elit, pelumba Jepun Mio Suemasa meraih pingat emas dengan masa 3'01:597s, meninggalkan jauh catatan masa yang dicipta oleh pemenang pingat perak Risa Suseanty dari Indonesia (3'16:933s). KA Pelumba Thailand, Aussanee Pradupyard menduduki tempat ketiga dengan catatan masa 3'29:141s.

Pelumba negera Norsyuhaini Othman dan Masziyaton Mohd Radzi menduduki tempat ketujuh dan kelapan dengan masing-masing mencatatkan masa 4'11:641s dan 4'23:700s.

Bagi kategori remaja lelaki, pelumba Jepun, Kazuki Shimizumuncul juara dengan kepantasan masa 2'56:011s saat diikuti pelumba Indonesia Hildan Atosma Katana (2'57:320s) dan Muhammad Aim dengan masa 3'05:688s.

Dalam acara wanita remaja, pelumba Thailand, Vipavee Deekaballes, pula menguasai acara dengan catatan masa 3'42:402s dan tempat kedua disandang oleh pelumba Vietnam Bui Thi Quyen dengan catatan masa 4'47:868s.

Kejohanan empat hari bermula Khamis lepas itu disertai 15 negara termasuk Malaysia, Singapura, Korea Selatan, Thailand, Indonesia, Hong Kong, Iran, China dan Vietnam. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain