suria

Agong ketuai cabaran kejohanan Kuda Lasak Piala Sultan Terengganu

KUALA TERENGGANU: Yang diPertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin akan mengetuai cabaran pada kejohanan Cabaran Kuda Lasak Piala Sultan Terengganu selama tiga hari mulai esok di Terengganu International Endurance Park (TIEP) Lembah Bidong, Setiu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Datuk Abdul Rahin Mohd Said berkata, kejohanan yang disertai beberapa buah negara seperti Australia, New Zealand, Thailand, Amerika Syarikat, Uruguay, Singapura, Chile dan 12 pasukan dari dalam negara itu melibatkan kira-kira 100 peserta.

"Perasmian kejohanan sejauh 120 kilometer itu dijadualkan akan disempurnakan oleh baginda Raja Permaisuri Agong pada kirakira 5 petang Sabtu dan dijangka selesai awal pagi.

"Musim monsun yang sudah bermula sesuai bagi perlumbaan kuda lasak sebegini kerana kuda memerlukan cuaca yang agak dingin," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pada kejohanan itu Tuanku Mizan akan mewakili Royal Terengganu Endurance Stable (RTEs) bersama 12 peserta lain dari pasukan itu. Katanya pasukan lain negara ialah Wilayah Equestrian Team, State Terengganu Endurance Team (STET), PENN Endurance, Tengku Mahkota Kelantan (TMKN), Kelab Tanjung Keling Riding Melaka, ArRaudah Equine Centre, Langkawi Endurance Team, Masterscaff Endurance Team, D'Bali Stable, Kimi Stable dan Iskandari Stable.

Abdul Rahin berkata, kejohanan itu menawarkan hadiah wang tunai USD$10,000 (RM43,000) serta piala pusingan kepada pemenang tempat pertama manakala tempat kedua USD$7,000 (RM25,000).

Pemenang ketiga USD$5,000 (RM18,000), keempat USD$4,000 (RM13,500) dan kelima USD$2,000 (RM6,800) serta USD$1,000 (RM3,400) bagi peserta yang dapat menghabiskan perlumbaan mengikut masa yang ditetapkan.

Katanya, sempena kejohanan yang bertemakan "Kuda Sokmo" itu, pelbagai acara lain turut diadakan di tapak kejohanan seperti senamrobik bersama penunggang kuda, gerai jualan, pertandingan mewarna, persembahan Dressage dan Show Jumping serta persembahan pentas oleh artis tempatan termasuk Ella dan Arif AF.

Beliau berkata majlis penyampaian hadiah kejohanan itu juga akan disempurnakan Raja Permaisuri Agong yang akan diadakan di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man di sini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain