suria

Malaysia dan Singapura bimbangkan lokasi kemudahan perubatan di perkampungan sukan

KUALA LUMPUR: Dua negara ahli gabungan Persekutuan Sukan Sea (SGF), Malaysia dan Singapura menyuarakan kebimbangan mereka terhadap tindakan tuan rumah Sukan Sea ke-25, Laos yang mahu menempatkan pejabat Majlis Olimpik Kebangsaan (NOC) negara-negara peserta dan pasukan perubatan negara-negara terbabit di luar Perkampungan Sukan.

Dalam laporan yang dibuat oleh ketuaketua kontinjen negara peserta yang dikeluarkan selepas satu mesyuarat di Vientiane, Laos Ahad lepas yang diperolehi Bernama hari ini, kedua-dua negara bersependapat kakitangan NOC dan pegawai-pegawai perubatan secara idealnya perlu ditempatkan bersama-sama dengan para atlet bagi membantu mereka ketika mereka memerlukan bantuan.

Dalam mesyuarat itu, Malaysia diwakili oleh Chef de Mission ke Sukan Sea Laos, Datuk Dr Ramlan Abd Aziz.

"NOC dan kumpulan bantuan perubatan perlu ditempatkan berdekatan dengan pasukan, ini penting dan sebarang kelewatan ketika di saat-saat yang diperlukan boleh menjadi satu risiko kepada prestasi," kata Dr Ramlan di dalam laporan itu.

Sementara itu, wakil dari Singapura pula berkata kontinjen Singapura akan membawa pasukan perubatan yang ramai termasuk doktor, pegawai fisioterapi dan psikologi dan mereka ini mestilah ditempatkan bersamasama dengan atlet-atlet kerana mereka ini bekerja rapat dengan para atlet.

Mesyuarat bersma ketua-ketua kontinjen itu dipengerusikan oleh naib Presiden Jawatankuasa Sukan Kebangsaan Laos yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pertandingan, Somphou Phongsa.

Dalam reaksi balasnya di dalam laporan itu, Phongsa berkata pasukan perubatan Jawatankuasa Penganjur Sukan Sea Laos (Laosoc) akan cuba mengatur keperluan ruang dan tempat untuk NOC negara peserta dan pasukan perubatan masing-masing di dalam Perkampungan Sukan sebaik sahaja menerima angka rasmi atlet-atlet dan pegawai-pegawai yang akan menyertai sukan itu.

"Walaupun pejabat NOC dan bilik perubatan akan ditempatkan di luar perkampungan sukan, khidmat poliklinik akan ditawarkan di dalam perkampungan itu," kata laporan itu.

Menurut laporan itu lagi Perkampungan Sukan akan dibuka secara rasminya pada 27 November kerana ada sesetengah acara sukan seperti bola sepak lelaki dan wanita akan bermula lebih awal sebelum majlis pembukaan temasya sukan dwitahunan itu pada 9 Disember. Perkampungan Sukan itu dibina di Perkampungan Nongviengkham dalam daerah Xaythany berdekatan dengan National University of Laos pada Julai 2008 dan siap sepenuhnya bulan lepas dengan kos keseluruhan berjumlah kira-kira RM65 juta.

Perkampungan Sukan yang terdiri daripada lapan buah bangunan empat tingkat itu menyediakan 1,000 buah bilik yang boleh menempatkan 4,000 atlet dengan menyediakan kemudahan bertaraf antarabangsa termasuk kemudahan-kemudahan lain.

Selepas tamatnya temasya sukan itu, perkampungan sukan dan semua kemudahan yang disediakan itu akan diserahkan kepada National University of Laos.

Laporan itu turut menyebut majlis undian untuk semua jenis acara sukan akan berlangsung pada 9 November kecuali badminton yang akan diadakan lebih awal pada 5 November depan. BERNAMA

Artikel Lain