suria

KOAM mahu tambah atlet ke Laos bawah kategori A - Shahidan

KUALA LUMPUR: Selepas menyerahkan nama 45 atlet untuk ke Sukan SEA Laos kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) berharap dapat menambah jumlah tersebut dengan mengadakan satu lagi kem latihan di Kota Kinabalu pada pertengahan November ini.

Presidennya Datuk Seri Shahidan Kassim berkata kem latihan pusat olahraga selama 21 hari itu akan membuka peluang kepada atlet yang layak ke Laos di bawah kategori B untuk cuba layak di bawah kategori A selain memberi peluang kepada atlet lain untuk turut layak ke temasya dwitahunan tersebut.

"Bagaimanapun, kem latihan tersebut tertakluk kepada kelulusan Majlis Sukan Negara (MSN). Kem di Kota Kinabalu atas cadangan jurulatih yang mahukan atlet mereka berubah angin," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Atlet di bawah kategori A akan ditanggung sepenuhnya oleh MOM sementara atlet kategori B perlu menanggung sendiri perbelanjaan tetapi MOM akan membayar kembali jika mereka mendapat sekurang-kurangnya pingat perak.

Shahidan bagaimanapun berkata jumlah 45 atlet itu mungkin berkurangan sekiranya atlet di bawah kategori B gagal menampilkan prestasi yang dikehendaki oleh kesatuan semasa di Kota Kinabalu.

KOAM berharap dapat menambah jumlah atlet yang layak terutama di bawah kategori A tetapi akan memastikan hanya atlet berpotensi di bawah b, akan ke Laos, katanya.

Atlet yang telahpun layak ke Laos di bawah kategori A ialah S.Mathialagan, Mohd Jironi Riduan (800m), Yuan Yu Fang, Lo Choon Sieng, Teoh Boon Lim (20km jalan kaki), Lee Hup Wei (lompat tinggi), Mohd Hafizuddin Shahadan (lompat bergalah), M.Vadivellan (800m, 5000m, 1500m), Chan Woo Yew (maraton), Noraseela Mohd Khalid (400m berpagar), Roslinda Samsu (lompat bergalah) dan Tan Song Hwa (baling tukul besi).

Antara atlet di bawah kategori B yang diharap dapat naik ke kategori A ialah Rayzam Shah Wan Sofian (110m berpagar), Mohd Hasrolnizam Yaakob (lempar cakera), Adi Aliffuddin Hussin (lontar peluru) dan Noor Amira Mohamad Nafiah (lompat kijang).

Beliau berkata KOAM juga menetapkan sasaran lapan pingat emas bagi acara olahraga di Laos selepas satu sasaran pingat emas tercicir kerana Yu Fang, jaguh jalan kaki wanita yang berasal dari China, telah menyatakan hasratnya untuk menarik diri.

Timbalan Presiden KOAM Karim Ibrahim berkata ketiadaan Yu Fang akan diisi oleh atlet jalan kaki dari Kelantan, Norliana Mohd Rusni.

Catatan terbaik Norliana, satu jam 52 minit 14 saat yang dilakukannya pada Terbuka Perlis bulan lepas bagaimanapun agak jauh daripada catatan kelayakan tempat ketiga bagi Sukan SEA iaitu 1:35.45s.

"Norliana mungkin ke Laos di bawah kategori b," kata Karim. BERNAMA

Artikel Lain